KUALA LUMPUR – Sarjana hal ehwal politik dan pentadbiran terkemuka negara negara Profesor Dr Ahmad Atory Hussain meninggal dunia pagi tadi setelah menerima rawatan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Thomson, Kota Damansara.
Sepanjang hidupnya, arwah telah menulis lebih sepuluh buah buku mengenai politik dan pentadbiran awam seperti, Pengantar pentadbiran awam : paradigma baru, Sejarah Hulu Perak 1880-1941, Prinsip pengurusan di sektor awam dan swasta, Pengantar pentadbiran awam, Politik dan dasar awam Malaysia, Kerajaan tempatan : teori dan peranan di Malaysia, Pengurusan Sumber dalam organisasi awam dan swasta, Dari berantakan ke pembangunan politik Melayu 1990 – 2000, Dimensi politik Melayu 1980 – 1990 : antara kepentingan dan wawasan bangsa Reformasi pentadbiran di Malaysia.
Beliau banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu di Malaysia melalui penulisan akademik, kuliah, dan perbincangan dalam media massa. Sebagai seorang pensyarah yang dihormati, beliau telah melatih ramai pelajar di peringkat universiti dalam bidang sains politik dan perkhidmatan awam, serta aktif memberikan pandangan terhadap isu-isu semasa politik Malaysia.
Selain daripada penglibatan akademiknya, Ahmad Atory juga dikenali sebagai penganalisis politik yang sering berkongsi pandangan dalam media. Kepakarannya meliputi kajian sistem kerajaan, undang-undang pentadbiran, serta perkembangan politik tempatan dan antarabangsa. Sumbangannya kepada pemahaman masyarakat terhadap proses pentadbiran negara amat dihargai, terutamanya melalui penyiaran dan penerbitan artikel serta wawancara yang melibatkan isu-isu kritikal.
Berita mengenai pemergian Ahmad Atory dikongsikan anak Allahyarham Nurul Ainun menerusi hantaran di Facebook.
“Dimaklumkan bahawa ayah, Prof Dr Ahmad Atory Hussain telah kembali menemui Penciptanya pada 6.37 pagi, 30 Sept 2024, 26 Rabiulawal 1446, di wad ICU Thomson Hospital Kota Damansara.
“Semoga roh ayah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.-SUARA TV