China Akan Sumbang 1 Juta Lagi Dos Vaksin Sinovac Kepada Malaysia

- Advertisement -

PUTRAJAYA: China akan menyumbangkan satu juta dos vaksin COVID-19 CoronaVac (Sinovac) tambahan kepada Malaysia atas dasar persahabatan yang mendalam antara kedua-dua negara dan sesama rakyat, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan keputusan itu disampaikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Menteri Luar China, Wang Yi, semasa perbualan telefon dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pada Rabu.

“Sebelum ini, Kerajaan China pada Julai 2021 telah menyumbangkan 500,000 dos vaksin Sinovac untuk membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Saifuddin merakamkan penghargaan Malaysia kepada Kerajaan China atas sumbangan terbaru ini.

“Malaysia dan China telah bekerjasama sejak tercetus wabak COVID-19,” tambahnya.

Kenyataan itu memaklumkan China menunjukkan solidariti dengan Malaysia dengan menyumbangkan bekalan peralatan perubatan seperti topeng pelitup muka, peralatan pelindung diri (PPE) dan ventilator, selain menghantar sepasukan pakar kesihatan dari Guangzhou untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam rawatan pesakit dan pengurusan data.

Sementara itu, Malaysia juga telah menyumbang wang tunai US$1 juta, 18 juta sarung tangan getah dan 15 tan barang makanan ke China semasa wabak mula menular di Wuhan

Kedua-dua Kerajaan telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Pembangunan dan Aksesibiliti Vaksin dan Memorandum Persefahaman mengenai Kerjasama dalam Era Pasca-COVID-19 masing-masing pada 18 November 2020 dan 1 April 2021. Kerajaan China juga telah meletakkan Malaysia dalam senarai keutamaan penerima vaksin buatan China pada Oktober 2020.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama Putrajaya dan Beijing untuk menangani wabak ini secara berkesan, menuju ke pemulihan penuh bagi kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, perbualan telefon kedua-dua menteri itu pagi ini bagi memperbaharui hubungan kerja dan persahabatan serta berkongsi dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa semasa.

Kedua-dua Menteri Luar itu menyatakan komitmen berterusan bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Selain mengukuhkan lagi hubung dua hala sedia erat dan memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, Malaysia dan China akan terus mengembangkan kerjasama dua hala ke bidang baharu, terutama dalam teknologi dan industri baharu, misalnya ekonomi digital dan keselamatan siber, untuk manfaat bersama demi rakyat kedua-dua negara.

Kedua-dua Menteri juga membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk perkembangan terkini di Laut China Selatan.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat