Empat tahun menanti

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Biarpun pernah membintangi beberapa filem, namun Jebat meninggalkan nilai sentimental buat pelakon, Nelydia Senrose.

Bukan hanya bergandingan dengan rakan baiknya, Sharnaaz Ahmad, malah filem sulung terbitan Pena Creative Pictures milik Datuk Ziela Jalil itu akhirnya menemui penonton menerusi siaran Astro First pada 3 September ini, selepas empat tahun pembikinan dilakukan.

Filem Jebat adalah kesinambungan menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta yang pernah mencetuskan fenomena, sekali gus melonjakkan nama Nelydia dan Sharnaaz pada 2013.

Sekalipun tidak ditayangkan di pawagam berikutan pandemik COVID-19, Nelydia tetap tidak sabar menanti maklum balas peminat.

“Secara jujurnya, saya cukup teruja apabila mendapat tahu Kak Ziela mahu mengangkat drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta ke layar perak, empat tahun lalu.

“Tak sangka Kak Ziela ambil langkah berani pertaruhkan filem pertama menerusi lakonan saya dan Sharnaaz. Impak drama memberi lesen kepadanya untuk menghasilkan filem.

“Bagaimanapun, saya tetap bimbang, apakah sambutannya akan baik seperti drama,” kata Nelydia yang pernah membintangi filem Cinderella dan Mat Tudung.

 

 

Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingan Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad diangkat ke layar perak menerusi filem Jebat.
Drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta gandingan Nelydia Senrose dan Sharnaaz Ahmad diangkat ke layar perak menerusi filem Jebat.

 

Mengakui Sharnaaz antara hero yang senang didampingi, Nelydia berkata, dia dan Sharnaaz cuba melakonkan watak lebih baik berbanding drama ketika penggambaran filem dilakukan.

“Karakter Jebat dan Mastura berjaya mencuri hati penonton drama, jadi kami cuba memainkan watak lebih beremosi dalam filem.

“Jika mahu disingkap banyak dugaan dan masalah yang dihadapi syarikat produksi ketika menyiapkan pembikinan filem. Ia termasuklah tiada tarikh yang ditetapkan untuk tayangan filem ketika itu.

“Namun, saya terkejut apabila mendapat tahu Kak Ziela mula mempromosikan filem Jebat, baru-baru ini,” katanya kepada BH Online.

Nelydia berkata, dia belum menonton versi penuh filem berkenaan.

“Saya belum tengok versi penuh filem ini. Ia adalah kesinambungan versi drama apabila watak Jebat dikembangkan, manakala watak Mastura pula menjadi pengikut kembara Jebat.

“Bagi mereka tak menonton drama tak perlu risau untuk menyaksikan filem ini,” katanya yang baru selesai penggambaran drama Cinta Sekali Lagi bersama Saharul Ridzwan.

Katanya, dia tidak kecewa biarpun filem Jebat tidak ditayangkan di pawagam.

“Apa yang terjadi ada hikmah di sebaliknya. Saya harap peminat dapat menikmati filem Jebat di rumah seperti menonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta,” katanya.

Selain Nelydia dan Sharnaaz, filem Jebat arahan Jamal Khan turut dibintangi Idris Khan, Peter Davis, Carmen Soo, Sangeeta Krishnasamy dan ramai lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat