Hadi Dakwa Ada Usaha Jatuhkan Kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa wujud gerakan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan apa cara sekalipun.

Beliau berkata, gerakan itu wujud kerana penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif dalam mentadbir negara.

“Gerakan itu juga kerana dominasi umat Islam dan kalangan (kumpulan) yang tidak ekstrem, yang dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat Islam.

“Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir perosak yang berpakat menyingkirkan Islam dalam negara ini,” katanya dalam Minda Presiden PAS dikongsikan menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Abdul Hadi meminta pemimpin negara bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam berdepan rancangan menyingkirkan Islam di negara ini seperti dilakukan di beberapa negara luar.

“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran.

“Kalau dulu ditipu penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya.

Merujuk kejatuhan beberapa negara Islam yang didalangi ejen barat, Abdul Hadi berkata, barat terus menyokong kewujudan kerajaan Islam sekular seperti pembahagian kuasa diamalkan penjajah British di Tanah Melayu dulu dan penjajahan barat di negara Islam lain.

Beliau menjelaskan, ketika penjajahan British di negara ini raja hanya menjadi ketua agama dan umat Islam tidak berkuasa penuh, dan mereka hanya berkuasa dalam hal ehwal agama yang dihadkan tanpa kuasa untuk mentadbir negara sepenuhnya.

Katanya, di negara yang pernah dijajah barat yang masih mengekalkan konsep kerajaan Islam sekular, negara berkenaan sehingga kini ketinggalan, tidak bangkit untuk menjadi negara yang maju dan kuat.

“Sebenarnya itulah bentuk penjajahan baharu dengan pendekatan menyekat penentangan umat Islam terhadap penjajah asing yang telah ditukar dengan penjajah tempatan dibentuk oleh mereka.

“Akibatnya, walaupun penjajah asing itu sudah pulang ke negeri masing-masing, tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini.

“Pengaruh dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya yang ditinggalkan, diteruskan pergantungannya kepada bekas penjajah masing-masing,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, negara Kesatuan Eropah (EU) dan sekutu barat terus menjadi negara besar yang maju dan kuat, dengan sumber kekayaan dan tenaga manusia daripada negara umat Islam.

Katanya, dunia Islam yang luas wilayahnya, ramai tenaga manusia, banyak hasil bumi dan kedudukan yang strategik dalam peta dunia masih tidak mampu menjana semula kekuatan menjadi bangsa yang mulia dan perkasa.

“Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah.

“Namun, mereka tetap menghalang segala usaha mengembalikan semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia,” katanya.

-BERITA  HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat