Penggunaan Pelitup Muka Dapat Cegah Penyebaran Covid-19 – Dr Adham Baba

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai bahawa pelitup muka atau ‘facemask’ merupakan satu langkah pencegahan yang penting dalam mengelakkan penyebaran penyakit saluran pernafasan yang tersebar melalui virus, termasuk COVID-19.

Pelitup muka boleh digunakan sama ada untuk melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti atau untuk mencegah orang yang dijangkiti daripada menjangkiti orang lain.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, dalam satu kenyataan media hari ini, mengingatkan orang ramai bahawa penggunaan pelitup muka harus diamalkan bersama dengan penjagaan kebersihan tangan dengan kerap, penjarakan fizikal (physical distancing) yang selamat iaitu sekurang-kurangnya satu (1) meter daripada orang lain.

Menurut beliau, terdapat 2 jenis pelitup muka (Lampiran 1) yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan tersebut iaitu pelitup muka perubatan (medical) dan pelitup muka bukan perubatan (non-medical).

Pelitup muka perubatan seperti 3 ply surgical mask, pada kebiasaannya digunakan oleh petugas kesihatan. Namun ianya juga disarankan bagi orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan.

Di kawasan di mana jangkitan COVID-19 berlaku dan penjarakan fizikal sukar diamalkan, pemakaian 3 ply surgical masks juga disyorkan kepada golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas (iaitu mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas) dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi.

Penggunaan pelitup muka bukan perubatan adalah disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan seperti dalam pengangkutan awam, tempat kerja, kedai runcit dan persekitaran yang sesak.

Pada masa ini, terdapat pelbagai jenis pelitup muka bukan perubatan di pasaran.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik atau kain dengan 3 lapisan yang terdiri daripada:

i) Lapisan paling dalam yang hidrofilik iaitu bersifat menyerap air (misalnya kapas atau campuran kapas);

ii) Lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan hidrofobik iaitu bersifat menghindar penyerapan air (misalnya polipropilena, poliester, atau campurannya) yang boleh menghadkan pencemaran dari luar dari menembusi masuk ke hidung dan mulut pemakai; dan

iii) Lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair.

Namun, terdapat pelbagai pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik yang dijual di pasaran yang mungkin tidak menepati ciri-ciri yang disarankan oleh WHO.

Walau bagaimanapun,pelitup muka tersebut boleh dipakai untuk kegunaan orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan.

Pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua (2) tahun, bagi mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya, atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan.

Pelitup muka tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Pelitup muka perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat