KOTA KINABALU, 30 Jun – UMNO Sabah dikatakan akan melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sasaran awal mereka kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) ke-17 yang akan berlangsung sebelum akhir tahun ini.
Sumber memaklumkan kepada Suara.TV, sekurang-kurangnya dua kerusi DUN yang hampir pasti diserahkan kepada PKR ialah DUN Tempasuk dalam Parlimen Kota Belud dan DUN Merotai dalam Parlimen Kalabakan.
“DUN Tempasuk akan ditandingi oleh Pengerusi PKR Negeri Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, manakala DUN Merotai kemungkinan ditandingi oleh Datuk Ruji Ubi.” Ujar sumber tersebut.
DUN Tempasuk merupakan kawasan tradisi UMNO/BN sejak 1994 tetapi menjadi antara kerusi pertikaian dalam perbincangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan UMNO berikutan Adun sekarang Datuk Mohd Arsad Bistari yang menang atas tiket BN pada PRN 2020 telah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS).
Manakala Merotai sungguhpun dimenangi oleh Warisan dalam pilihan raya 2018 dan 2020, ia merupakan kerusi Perikatan/BN sejak 1966. Dalam PRU 2008, calon Warisan Sarifuddin Hatta menang dengan majoriti 2.150 dan majoriti 1,587 pada 2020. UMNO-BN memberi laluan kepada Bersatu (kini PGRS)dalam PRN 2020.
Khabar angin mengenai Datuk Ruji Ubi akan bertanding dalam PRN Sabah 2025 atas tiket PKR semakin kencang kebelakangan ini.
Bekas Ketua Setiausaha beberapa kementerian termasuk Kementerian Dalam Negeri itu dilaporkan telah mengambil langkah bersara awal pada awal Jun lalu.
Berasal dari Merotai, beliau merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan yang berpengalaman dalam pentadbiran negeri Sabah dan Persekutuan. Di peringkat negeri, beliau pernah berkhidmat dalam Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah dan beberapa jabatan utama lain yang berkaitan pembangunan dan keselamatan.
Ruji juga pernah memainkan peranan penting dalam penubuhan dan penyelarasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) – sebuah agensi strategik yang mengawal keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) selepas insiden pencerobohan Lahad Datu.
PKR dikatakan akan merekrut beberapa lagi pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan Sabah sebagai langkah menampilkan calon-calon yang boleh meyakini pengundi.
Bagi UMNO melepaskan dua DUN ini kepada PKR mungkin satu strategi bagi meyakinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka bersedia berkompromi dengan Pakatan Harapan dalam jangka masa panjang.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah UMNO juga bersedia melepaskan kerusi beberapa DUN lain kepada PH atau GRS.
UMNO sebelum ini enggan mengadakan kerjasama dengan GRS berikutan pertikaian lima kerusi milik BN yang kini telah berpindah kepada PGRS DUN Sindumin, Sugut, Pantai Dalit, Tempasuk dan Balung,
Semalam Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyatakan https://suara.tv/30/06/2025/rundingan-bn-ph-grs-perlu-ada-prinsip-asas-kekal-bertanding-dan-pertukaran-kerusi-salleh-said-keruak/ mana-mana rundingan pembahagian kerusi dalam kerjasama besar seperti BN-PH-GRS perlu berpandukan dua prinsip utama iaitu kekal bertanding dan pertukaran kerusi.
“Kekal bertanding bermaksud parti yang memenangi sesuatu kerusi dalam pilihan raya lalu harus diberi keutamaan untuk bertanding semula di kawasan tersebut.
“Ini bagi mengelakkan pertembungan antara parti dalam koalisi serta mengekalkan kestabilan dan kepercayaan pengundi terhadap parti berkenaan,” tulis Salleh. -SUARA.TV