Tok Mat akui ada pihak cuba laga, renggang hubungan beliau dengan Zahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui terdapat cubaan pihak tertentu untuk me­laga-lagakan dan merenggangkan hubungan beliau dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden Umno itu berkata, tindakan pihak tersebut jelas tidak bertanggungjawab kerana mahu memecah-belahkan hubungannya dengan presiden parti.

“Saya banyak kali dengar orang bercerita mengenai saya lebih-lebih lagi cuba bercerita buruk dan melagakan kami.

“Saya hanya senyum kerana orang yang mengadu itu saya tidak percayakan dia asbab boleh cakap buruk tentang pre­siden dia.

“Depan saya cakap lain. Mungkin belakang saya dia bercakap tentang saya pula. Saya tidak akan terpengaruh atau termakan hasutan dengan pihak terbabit,” katanya ketika meras­mikan Mesyuarat Umno Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, lapor Utusan di Tangkak.

Tambah Ahli Parlimen Rembau itu, menjadi orang nombor dua dalam parti bukan sesuatu yang mudah tetapi menjadi tanggungjawabnya untuk membantu presiden parti.


“Perkara yang lebih utama adalah parti yang menjadi suara rakyat untuk memperjuangkan nasib bangsa dan agama.

“Apa yang lebih penting parti dulu. Kalau kita menang, akan menang satu bas (semua pihak dalam parti menang). Namun, kalau kita kalah, kalah satu gerabak.

“Saya juga tidak menafikan akan ada ahli yang melompat parti apabila tewas dan saya berharap setiap ahli terus setia kepada parti dan perjuangan kita,” katanya memetik akhbar itu lagi.

Sementara itu, Mohamad juga berkata sama ada penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditarik semula ataupun tidak, perlu diserahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Kata beliau, Ahli Parlimen Sembrong itu perlu membuat permohonan kepada parti supaya tindakan penggantungan keahliannnya itu ditarik semula, itupun jika masih berminat menyertai Umno.

“Beliau (Hishammuddin) perlu menulis surat jika mahu kembali (kepada Umno). Dia pergi kita tidak halau, hendak kembali semula ke parti juga kita tidak jemput. Hendak balik semula (Umno), perlu tulis surat.

“Keputusannya pula terserah kepada MKT yang punya kuasa untuk memendekkan hukuman. Sebagai contoh penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin (Abdul Rahman), beliau datang minta tolong dengan saya, saya kata tulis surat kepada parti untuk buat rayuan.

“Ya..dia tulis surat dan diluluskan di mana penggantungannya ditarik balik. Tiada masalah pun, jangan jadi bodoh sombong. Kita (Umno) tidak terhegeh-hegeh hendak rayu siapa-siapa kembali kepada parti, “ katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat