Zahid Kongsi “Tips Kekal Tenang” Meski Dibadai Serangan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencoret bingkisan tips bagaimana beliau masih mampu bertenang biarpun berdepan pelbagai serangan.

“Ramai bertanya bagaimana saya masih mampu bertenang ketika serangan demi serangan ditumpukan pada saya.

“Saya perjelaskan kita akan tenang jika mengerti dan menginsafi dugaan dalam kehidupan semata-mata suatu ujian.

“Hati kita jadi tenang apabila meyakini cabaran yang terpaksa ditempuhi adalah sebuah perjuangan yang luhur,” katanya pada Khamis.

Ujar Zahid lagi, kita akan lebih tenang apabila memahami mengapakah diri ditohmah oleh mereka yang tidak tenang.

“Mereka yang tidak tenang kerana terlalu mementingkan kedudukan, kuasa dan jawatan.

“Mereka yang tidak tenang kerana kedegilan Presiden UMNO meneruskan kebangkitan parti ini.

“Apabila kita percaya kita di pihak yang benar dan beranilah kerana benar, maka perasaan jadi tenang,” jelasnya.

Malah beliau menerapkan, sebagaiman beliau bertenang apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang angkara fitnah dan pembohongan pada 2018.

“Tetap bertenang walaupun ditekan oleh sang penguasa supaya mengkhianati amanah yang diberikan oleh parti.

“Fokuskan fikiran, hati dan tenaga kepada Yang Maha Esa, maka kita akan menjadi seorang yang kuat dan tenang,” ujar beliau

Ketenangan bukanlah bermakna lemah, tetapi ia perlu hadir bersama keazaman, kecekalan dan kebijaksanaan, kata Zahid lagi.

“Saya berdoa agar diri terus diberi ketenangan oleh Yang Maha Esa dalam meneruskan perjuangan ini.

“Saya berdoa agar saudara saudari turut diberi ketenangan dalam mengharungi apa jua perit getir kehidupan.

“InsyaAllah pandangan dan hala tuju kita akan lebih jelas tentang apa yang harus dilakukan,” nasihat beliau.