KUALA LUMPUR – Sebagai tanda sokongan kepada gerakan koperasi di negara ini, Co-opbank Pertama (CBP) akan meraikan sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 (BKK) yang diadakan Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Baharom Embi berkata, CBP juga turut terlibat dalam sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri di seluruh Malaysia.

“CBP bermula sebagai sebuah koperasi kecil di Pulau Pinang dan dengan pengalaman yang ada selama lebih 70 tahun ini, CBP amat memahami apa yang diperlukan bukan sahaja masyarakat, tetapi juga oleh koperasi.

“CBP komited untuk terus membantu sektor koperasi di negara ini seiring dengan misi kerajaan untuk menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penyumbang ekonomi terbesar negara seperti yang telah dinyatakan di dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM),”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, CBP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan agensi-agensi berkaitan untuk membantu lebih banyak koperasi.

“Sebagai sebuah co-opbank, CBP telah menjalani pelbagai transformasi seiring dengan peredaran masa.

“CBP juga telah merangkul pelbagai kejayaan dari semasa ke semasa sehinggalah dinobatkan sebagai salah satu Koperasi Premier Malaysia 2021,” katanya.

Tambahnya, memasuki tahun ke-72 penubuhannya, CBP terus komited untuk membantu gerakan koperasi dengan menawarkan pelbagai jenis produk pembiayaan untuk koperasi di negara ini.

“Kita juga tidak mengenepikan masyarakat dengan terus menawarkan pelbagai produk pembiayaan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat termasuklah pembiayaan peribadi, pembiayaan hartanah, pembiayaan perumahan, akaun simpanan dan Ar Rahnu.

“Bagi koperasi pula, pihaknya menawarkan pembiayaan berjangka, pembiayaan kredit pusingan, pembiayaan pemfaktoran dan surat jaminan-i,” katanya.

Sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan 2022 dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur pada 2 Julai.