KUALA LUMPUR, – Pemuda UMNO menyatakan rasa kecewa terhadap keputusan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyertai PKR, namun menghormati keputusan itu sebagai hak peribadi beliau.
Setiausaha Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Arifin berkata, tindakan Tengku Zafrul tidak mencerminkan semangat setiakawan dan prinsip perjuangan berparti yang sebenar.
“UMNO menerima beliau dengan penuh hormat dan kepercayaan. Namun, apabila beliau memilih untuk meninggalkan parti, ia satu tamparan, terutama bagi mereka yang berusaha keras menaikkan nama beliau dalam parti,” katanya.
Menurut Hafiz, Pemuda UMNO berpandangan bahawa kekuatan parti tidak terletak pada satu individu semata-mata, sebaliknya lahir daripada kesetiaan dan semangat kolektif seluruh ahli.
“Bakat dan kelayakan memang penting. Tetapi dalam perjuangan politik berparti, kesetiaan dan adab jauh lebih utama. Kita bukan hanya membina kerjaya, tetapi mempertahankan maruah dan asas perjuangan,” ujarnya.
Beliau turut menyindir amalan politik melompat parti yang dilihat semakin menular dalam kalangan elit politik negara.
“Drama politik orang atasan yang tidak beri keuntungan kepada orang ramai dan orang biasa, tetapi hanya kelebihan untuk sesetengah dari kalangan mereka sahaja. Bosan dan memualkan,” katanya lagi.
Hafiz mengakhiri kenyataan dengan mengucapkan selamat jalan kepada Zafrul dan berharap beliau diterima oleh PKR.