KUALA LUMPUR – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat yang memerintahkannya membayar RM400,000 kerana memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh 8 tahun lalu.
Dr Kamarul berkata, tindakan itu diambil bagi mencabar keputusan berkenaan dari segi fakta dan undang-undang.
Beliau menegaskan, sama sekali tidak bersetuju dengan dapatan serta asas penghakiman yang telah membawa kepada keputusan tersebut.
“Saya percaya pada sistem perundangan kita yang memberi ruang dan peluang untuk seseorang mendapatkan keadilan secara menyeluruh melalui proses rayuan.
“Saya akan menggunakan saluran undang-undang yang sah bagi mempertahankan hak dan kebebasan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah tinggi itu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada barisan peguamnya termasuk semua pihak yang telah memberi sokongan, sepanjang prosiding ini berlangsung.
Menurutnya, proses itu jauh daripada berakhir dan beliau memohon semua pihak memberi ruang kepada mahkamah untuk meneliti semula perkara berkenaan secara menyeluruh di peringkat rayuan.
Pada Jumaat, Hakim, Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan Dr Kamarul Zaman membayar RM400,000 kerana memfitnah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung dua hantaran di laman sosial Facebook 8 tahun lalu.