KUALA LUMPUR – Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli menerajui kepimpinan PKR diyakini adalah tiket terbaik untuk PKR menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi pemilihan PKR, Rafizi memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR manakala Nik Nazmi, Datuk Seri Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Aminuddin Harun yang dipilih dalam Naib Presiden.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, barisan kepimpinan baru PKR dibarisi ‘orang muda’ menjadikan masa depan parti lebih positif pada masa depan.

“Masa depan parti juga positif: Rafizi berusia 44 tahun, manakala Amirudin, 42; Lih Kang, 41, saya 40.

“Proses ini boleh menjadi lembaran baharu untuk parti kita, menandakan pembaharuan dan dedikasi kita terhadap perjuangan Reformasi,” catat beliau di Facebooknya pada Isnin.

Kata Nik Nazmi lagi, pemilihan kali ini memperlihatkan PKR tidak kekurangan bakat, komitmen, dan semangat dalam kalangan ahli-ahlinya.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan PKR yang bertanding bersama saya. Ada di antara kita yang menang, dan ada yang belum.

“Saya percaya bahawa keinginan kita untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tetap utuh. Sudah tiba masanya untuk kita mengetepikan perbezaan, merapatkan saf, dan mula mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

“Kita harus fokus untuk memenangi PRU-15 dan memulihkan kerosakan yang telah dilakukan oleh dua kerajaan terakhir,” tegas beliau.

Nik Nazmi juga memberitahu, keputusan pemilihan PKR kali ini adalah bukti bahawa anggota PKR telah menolak strategi “Khemah Besar”.

“Anggota kita telah menghantar isyarat jelas bahawa mereka mengharapkan PKR untuk memperkukuh gabungan Pakatan Harapan (PH) sedia ada.

“Mereka mahu kita menolak kepentingan politik dengan jalan pintas, menolak kerjasama dengan kuasa yang telah berulang kali menolak pembaharuan, keadilan sosial serta semangat berbilang kaum dan mengkhianati mandat rakyat.

“Mereka telah mengundi kita untuk membentuk manifesto yang meyakinkan dan akan memberi harapan kepada rakyat – terutamanya pengundi atas pagar,” ujar beliau.

Kata Nik Nazmi, anggota telah mengundi PKR untuk mendengar dan menyediakan penyelesaian kepada pelbagai krisis yang dihadapi rakyat: masalah bekalan makanan, ancaman berterusan Covid-19, infrastruktur yang rapuh, perubahan iklim yang mengancam nyawa, masalah sumber pencarian, kekurangan pekerjaan dengan gaji bermaruah, perumahan yang mahal, sistem pendidikan bermasalah dan pelbagai isu yang lain.

“Kepimpinan baharu kita mesti bertindak balas terhadap isyarat yang jelas ini.

“Pemilihan parti telah berakhir—kerja untuk membina semula Malaysia mesti bermula,” tegas Nik Nazmi.

Menurutnya, PKR masih mengekalkan amalan “satu anggota, satu undi” dan memperkenalkan inovasi baharu seperti aplikasi ADIL dan pengundian atas talian, yang meletakkan kita di hadapan parti arus perdana yang lain.

Namun begitu, ujarnya kita tak boleh melupakan hakikat bahawa peratusan keluar mengundi adalah rendah untuk pemilihan parti. Ini adalah petanda bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengaktifkan akar umbi PKR.

“Kita mesti mencari cara untuk memberdayakan ahli kita, bukan hanya dengan menambah anggota dan ranting baharu tetapi memperkasakan para ahli.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti untuk lebih ramai kepimpinan wanita – serta memantapkan peranan Sabah dan Sarawak.