Balai Undang Sungai Ujong cabar arahan kosong premis, tuntut bukti rasmi pelucutan

SEREMBAN, — Balai Undang Luak Sungai Ujong mencabar arahan pengosongan kediaman rasmi dan balai undang berkuat kuasa serta-merta, dengan menuntut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengemukakan bukti rasmi pelucutan serta minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang bertarikh 17 April 2026.

Tuntutan itu dibuat melalui surat bertarikh 30 April 2026 yang ditandatangani Setiausaha Sulit kepada Yang Teramat Mulia Dato’ Undang Luak Sungai Ujong, Ahmad Hanafi bin Ruzlan, kepada Tuan Akmal Farid Rizal bin Noordin, Setiausaha Bahagian, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Surat tersebut merujuk kepada arahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 29 April 2026 yang mengarahkan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungai Ujong dilakukan berkuat kuasa serta-merta.

Balai Undang Luak Sungai Ujong dalam surat itu memohon supaya pematuhan terhadap arahan pengosongan tersebut ditangguhkan buat masa ini, atas alasan motif arahan itu tidak jelas selain tiada kepastian bertulis berhubung isu pelucutan Dato’ Mubarak bin Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Menurut surat berkenaan, pihak balai undang sebelum ini menerima surat pemberitahuan penempatan semula semua kakitangan Balai Undang Luak Sungai Ujong bertarikh 27 April 2026 melalui e-mel sekitar jam 10 malam.

Arahan itu meminta kakitangan melapor diri ke Pejabat Dewan Keadilan dan Undang pada jam 9.30 pagi, 28 April 2026, iaitu keesokan harinya.

Pihak Balai Undang Luak Sungai Ujong berkata, satu pertemuan kemudian diadakan pada 28 April di Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, dihadiri Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang, YM Raja Norazli bin Raja Nordin dan Unit Perkhidmatan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Tuan Syed Muzaffar bin Syed Mohamad.

Dalam pertemuan itu, pihak balai undang dimaklumkan bahawa penempatan semula kakitangan tersebut adalah lanjutan daripada dakwaan pelucutan Dato’ Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Menurut surat sama, arahan yang dikeluarkan dikatakan bersandarkan kenyataan media Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 20 April 2026 yang menyatakan Dato’ Mubarak telah dilucutkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Bagaimanapun, pihak Balai Undang Luak Sungai Ujong mempertikaikan asas arahan tersebut kerana surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang bertarikh 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti masih belum diserahkan kepada mereka.

“Oleh yang demikian, berlaku kekeliruan maklumat sama ada arahan ini sebenarnya berdasarkan kenyataan media YAB Menteri Besar Negeri Sembilan bertarikh 20 April atau berdasarkan surat rasmi dan minit mesyuarat Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang bertarikh 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti,” menurut surat itu.

Balai Undang Luak Sungai Ujong turut menegaskan pihaknya memerlukan kepastian bertulis bahawa pemberitahuan penempatan semula dan arahan pengosongan itu dibuat berdasarkan asas yang sah, bukan sekadar makluman lisan atau kenyataan media yang masih dalam pertikaian.

Dalam surat sama, pihak balai undang turut menyatakan pengosongan premis secara mendadak tanpa kepastian akan menjejaskan usaha pemulihan yang sedang dilakukan.

Mereka juga memberi amaran bahawa sekiranya arahan pengosongan Balai Undang Luak Sungai Ujong diteruskan, keadaan itu dikhuatiri menimbulkan kekecohan dan pertelingkahan awam yang boleh membawa kepada situasi lebih buruk.

“Pihak kami memerlukan kepastian bertulis bahawa pemberitahuan penempatan tersebut adalah berasaskan sesuatu asas yang sahih, bukan sekadar makluman lisan atau kenyataan media yang masih dalam pertikaian dan tuntutan penjelasan terperinci dalam isu kritikal ini,” menurut surat tersebut.

Pihak balai undang berkata, mereka ketika ini sedang menguruskan pertikaian membabitkan YTM Undang Luak Sungai Ujong dan menegaskan kehadiran serta penglibatan semua pihak secara langsung adalah penting bagi menyelesaikan krisis berkenaan.

Sehubungan itu, mereka memohon supaya arahan pengosongan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungai Ujong ditangguhkan pada masa ini.

“Berdasarkan perkara-perkara di atas, kami sekali lagi memohon dibekalkan surat rasmi pelucutan dan minit mesyuarat bertarikh 17 April 2026 di Istana Besar Seri Menanti pada kadar segera,” menurut surat itu.

Surat tersebut turut disalinkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Ketua Polis Negeri Sembilan, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang, Balai Dato’ Shahbandar Sungai Ujong, setiausaha sulit kepada Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau serta Setiausaha Sulit kepada YTM Tunku Besar Tampin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat