KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan bahawa beliau mengetahui dalang di sebalik penyebaran beberapa audio mirip suaranya yang tular di media sosial yang disifatkannya sebagai permainan politik untuk menjejaskan karakter beliau.
Rauf menegaskan, beliau tidak terkesan dengan permainan seumpama itu, justeru tidak perlu untuk beliau mengambil tindakan seperti membuat laporan polis.
“Kenapa pula saya nak buat laporan polis? Saya tidak ambil itu sebagai sesuatu yang memfitnah atau memburukkan nama saya. Siapa buat, dia tanggung sajalah.
“Saya anggap ini satu permainan politik untuk menjejaskan karakter saya sebagai seorang Ketua Menteri. Saya memang tahu siapa watak di belakang perancangan ini, biarkan dia nak buat.
“Bagi saya, saya tidak perlu rasa bersalah pun sebab tak menjurus kepada apa yang mereka tuduh. Silakan dan teruskan untuk berkarya dalam sandiwara ini,” lapor BH pada Rabu.
Beliau berkata ketika ditemui pemberita selepas berucap pada program Bicara Tokoh dan Majlis Perasmian Penutup Program Karisma Pemikir Madani Siri II, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di ibu kota.
Sebelum ini, media melaporkan, tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial, yang didakwa suara mirip Rauf, sehari selepas Rauf menafikan beliau ada kaitan dalam penahanan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 April lalu, berhubung dakwaan rasuah.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, baru-baru ini dilaporkan menggesa Rauf membuat laporan polis jika beliau tiada kaitan dengan rakaman audio berkenaan.
Semalam, Rauf menyifatkan penyebaran audio berkenaan sebagai perbuatan golongan yang kecewa dan beliau sudah biasa dengan drama permainan politik yang semata-mata untuk meraih simpati.