Anak lelaki Musa Aman, Hajiji dan Bung Moktar terima gelaran ‘Datuk’

KUALA LUMPUR – Anak Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan anak Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor adalah antara penerima pingat serta darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Musa, hari ini.

Anak Musa, Hazem Mubarak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.

Anak Hajiji, Mohd Ghazali yang juga Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman, turut menerima darjah kebesaran yang sama.

Turut menerima PGDK ialah Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar yang juga anak bekas Ketua Umno Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

Mohd Kurniawan Naim memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada 24 Januari lalu yang diadakan berikutan kematian bapanya selaku penyandang kerusi itu.

Ketiga-tiga mereka ialah antara 79 penerima PGDK pada tahun ini, lapor BH di Kota Kinabalu pada Selasa.

Selain mereka, antara pemimpin politik lain yang turut menerima PGDK ialah bekas ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Ketua PKR Cabang Beaufort, Dikin Musah; serta Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim.

Penerima lain PGDK termasuklah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris; Panglima 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Shamshor Jaafar; Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Mohd Ainal; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir; dan Pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Saadiah Aziz.

Tidak ketinggalan, ahli akademik seperti Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Rossita Shapawi, serta Pensyarah Kanan Sains Sosial UMS, Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung.

Turut menerima PGDK ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah, Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara; serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

Secara keseluruhan, seramai 1,026 individu tersenarai menerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Musa.

Senarai itu didahului tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi yang juga Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd (FVSB), Datuk Abdul Farish Abd Rashid.

Beliau bersama Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Selain itu, seramai 117 individu menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 192 menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 260 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 menerima Bintang Kinabalu (BK), 113 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji dan 13 menerima Jaksa Pendamai.

Majlis pengurniaan darjah dan pingat berlangsung di Istana Seri Kinabalu, selepas Istiadat Perbarisan sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Musa di Padang Merdeka Kota Kinabalu, pagi tadi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat