Pahang Mohon Peruntukan Bina 4 Masjid Baharu

- Advertisement -

KUANTAN – Kerajaan Pahang mengemukakan permohonan bagi pembinaan empat masjid baharu di negeri ini.

Permohonan itu dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al-Falah, Kampung Lebu, dekat Bentong, petang semalam.

“Saya bagi pihak kerajaan negeri memohon jasa baik Datuk Seri mempertimbangkan cadangan (pembinaan) empat masjid kariah baharu di negeri ini.

“Masjid itu adalah Masjid Kariah Kampung Batu 8, Lepar, Pekan yang musnah dalam kebakaran pada Disember 2021; Masjid Kariah Kampung Tebal, Temerloh yang ketika ini berada di jajaran pembinaan jambatan kedua Temerloh.

“Selain itu, Masjid Kariah Kampung Serambi, Pekan juga perlu dibina semula kerana setiap tahun ditenggelami banjir dan Masjid Kariah Kampung Bukit Lada, Kuala Krau yang juga sering ditenggelami banjir setiap tahun,” katanya.

Wan Rosdy memaklumkan permohonan bagi pembinaan semua masjid ini dianggarkan berjumlah RM17 juta.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi jaminan akan meneliti permohonan itu dan memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan kelulusan berkenaan.

“Kalau tak boleh bagi semua, takkan kita tak boleh bagi langsung, jadi saya akan ‘bisik’ perkara itu kepada (pengetahuan) PM (perdana menteri) dan saya fikir, kalau tak dapat empat (masjid) mungkin boleh tiga,” katanya ketika berucap pada majlis sama.

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut memaklumkan sepanjang tahun lalu kerajaan Pahang menerima peruntukan RM411.2 juta membabitkan 114 projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Katanya lagi, untuk tahun ini pula kerajaan Pahang sudah mengemukakan permohonan 56 projek untuk pembangunan luar bandar dianggarkan bernilai RM2.17 bilion.

“Selain itu, kerajaan negeri juga turut mengemukakan permohonan RM1.3 bilion yang merangkumi projek jambatan luar bandar, program pemajuan kawasan dan bekalan air luar bandar.

“Kita (kerajaan Pahang) sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan kawasan luar bandar agar kawasan ini turut sama menikmati pembangunan seperti kawasan bandar dan kawasan industri.

“(Dan) sekiranya semua permohonan ini diluluskan kerajaan Persekutuan, ia akan menjadi antara agenda pembangunan luar bandar Pahang pada tahun ini,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat