CYBERJAYA: Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir segelintir ahli politik yang melompat parti dengan berkongsi cerita mengenai harga katak yang mahal di pasaran sejak tahun lepas.
Sindirnya, “Harga katak sudah mahal woii, sudah cecah RM15 sekilogram”.
“Saya rasa tertarik nak berkongsi berkenaan kisah seorang pemancing yang merungut harga katak mahal. “Harga katak sudah mahal woiii. Sudah cecah RM15 sekilogram”.
“Mungkin sebab itu semakin banyak katak di pasaran sejak tahun lalu,” tulis Zahid di laman Facebooknya.
Kata Zahid, menurut laporan Utusan Malaysia menyebut Malaysia menghasilkan 1,775,847 ekor katak pada 2020 dan bertambah 39,247 ekor daripada 1,736,600 ekor pada 2019.
“Tapi kena faham. Ini bukan katak liar. Ini katak belaan. Katak yang diternak tauke tertentu.
“Mungkin ramai tidak tahu bagaimana katak ternakan ada nilai jual beli di pasaran?” soalnya.
Ujarnya lagi, banyak kegunaan katak. Selain daripada melompat-lompat, katak dibeli untuk tujuan pancing. Ada kaki pancing menggunakan katak sebagai umpan untuk menangkap ikan. Katak hidup dikatakan lebih efektif berbanding katak tiruan untuk memperdaya ikan.
“Katak turut dijadikan sebagai sumber makanan eksotik oleh golongan tertentu.
“Walaupun saya kaki pancing, tetapi saya tidak pernah gunakan katak sebagai umpan.
“Sebab ada orang kata berdosa dan saya juga tidak akan makan katak walaupun masak tiga rasa,”katanya lagi.
Zahid juga menegaskan, bagi orang beragama Islam, makan haiwan dua alam adalah haram ternasuk katak dan labi-labi. –SuaraTV