Minta wang daripada pelancong, polis reman tiga anggota trafik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiga anggota polis trafik direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung perbuatan meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK) untuk menyelesaikan saman trafik di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, seperti yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata ketiga-tiga anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang ditahan itu berumur dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun.

“Ketiga-tiga mereka telah direman selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Bahkan siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam satu kenyataan.

Yusri berkata kertas siasatan berkaitan kes itu diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya selepas ia dilengkapkan.

“Siasatan dalaman turut dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap anggota terbabit.

“Kita juga meminta mangsa yang terlibat dalam kes ini tampil memberikan kerjasama agar siasatan dapat dilengkapkan dengan kadar segera,” gesa beliau.

Sementara itu beliau juga berkata pihak polis memandang serius terhadap salah laku yang dilakukan oleh ketiga-tiga anggota berkenaan, selain tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan perbuatan seperti itu.

“Polis turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ipoh melalui talian 05-2542222,” katanya.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan Polis Bukit Aman menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan membayar saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar dalam platform X, pasangan pelancong dari UK itu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju, namun polis terbabit memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di situ.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat