Bekas ADUN Lepar Terus Berkhidmat

- Advertisement -

KUANTAN – Kekalahan bekas ahli dewan undangan negeri (ADUN) Lepar, Datuk Abdul Rahim Muda pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak menghalang beliau terus berkhidmat kepada penduduk kawasan itu.

Melalui platform badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Prihatin Gambang (PAPG), Abdul Rahim tidak pernah meninggalkan DUN Lepar walaupun bukan lagi wakil rakyat di situ.

“Saya redha dengan keputusan PRU15 dan ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus berbakti di sini.

“Keadaan kesihatan saya juga semakin baik, banyak masa dapat diluangkan dengan keluarga dan mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya fikir ini peluang untuk lebih rapat dengan penduduk di sini dan memberikan bantuan sekadar termampu kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di pusat komuniti Gambang, di sini.

Beliau pernah ‘bercuti’ selama kira-kira enam bulan pada 2021 selepas dikesan terkena jangkitan kuman ketika mengharung air banjir.

Akibat penyakit itu, Abdul Rahim terpaksa menjalani rawatan fisioterapi untuk bahagian kaki kiri.

Keadaan kesihatan beliau beransur pulih dan kini masih meneruskan rawatan seperti biasa di hospital di Kuantan.

Ini adalah kali pertama Abdul Rahim bersetuju bertemu media selepas tewas tipis dalam PRU15 lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, beliau berdepan cabaran empat penjuru menyaksikan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Yazid Mohd Yunus menang dengan majoriti 419 undi.

Abdul Rahim memperoleh 8,017 undi manakala Mohd Yazid mendapat 8,436 undi.

Dua lagi calon, Ibrohim Mazalan daripada Pakatan Harapan mendapat 3,166 undi dan calon Pejuang, Rosminahar Mohd Amin hilang deposit apabila hanya memperoleh 103 undi.

Sementara itu, ketika diminta bercerita lebih lanjut mengenai NGO disertainya, Abdul Rahim berkata antara aktiviti dijalankan ialah memberikan sumbangan kepada golongan B40 dan ibu tunggal selain menganjurkan program khatan perdana.

“Kami juga turun padang memberikan bantuan setiap kali bencana berlaku di kawasan (DUN) Lepar dan bentuk bantuan itu adalah berdasarkan kemampuan kami sebagai NGO.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan NGO ini,” katanya.

Abdul Rahim sebelum ini juga adalah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang dan memaklumkan penggantinya, Datuk Seri Johari Harun sentiasa berhubung dengan beliau bagi mendapatkan pandangan.

“Saya dah kenal lama Datuk (Seri) Johari, jadi apabila beliau menang dan dilantik sebagai Exco, kami berhubung macam biasa.

“Banyak perancangan kerajaan Pahang yang diumumkan sebelum ini, ketika saya masih Exco, diteruskan seperti program Rumah Rakyat Pahang, skim Rumah Makmur Pahang dan banyak lagi.

“Saya yakin beliau dapat menjalankan amanah diberikan dengan baik dan dapat membantu Datuk Seri Wan Rosdy yang ingin melihat lebih ramai rakyat Pahang memiliki kediaman sendiri,” katanya.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat