PRN Johor: Bukan Strategi Kluster Mahkamah Kata Annuar Musa

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa membidas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah satu satu strategi kluster mahkamah adalah tidak tepat.

Kata Annuar Musa lagi, kenyataan Presiden PAS tersebut berkemungkinan tidak berasaskan maklumat yang tepat.

Memetik BERNAMA, Jelas Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, pelaksanaan PRN Johor adalah untuk kepentingan rakyat di negeri tersebut.

Menurutnya lagi, Menteri Besar Johor Datuk I.r Hasni Mohammad tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara sendirian tetapi ianya dilakukan dengan secara rundingan pelbagai pihak serta diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Pada saya itu hanya pendapat (Abdul Hadi), bukan fakta, mungkin pandangan itu kemungkinan juga ia berasaskan sumber-sumber maklumat yang tidak sahih.

“PRN ini berlaku bukan sebab kluster mahkamah, ia berlaku setelah Menteri Besar merasakan Johor tidak harus berada dalam situasi yang boleh merencatkan usaha-usaha pembangunan dan tugas kerajaan kerana negeri berpotensi tinggi, serta keadaan di mana pembangkang dan kerajaan sama banyak kerusi jarang berlaku dalam dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di RTM Johor di sini semalam.

Dalam pada itu, Annuar berharap kesemua pimpinan parti politik tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan serta perlu menghormati keputusan Johor untuk melaksanakan PRN.

“Kita perlu terima realiti dalam keadaan sekarang, bukan sahaja darurat kesihatan, darurat ekonomi, kita juga mengakui politik kita dalam keadaan yang tidak stabil, harus tangani berasaskan kebijaksanaan dan belum ada satu formula berasaskan seluruh negara, Sabah lain, Johor lain, Kelantan lain.

“Jadi kita perlu hormati suara orang Johor, dan orang Johor lebih tahu apa yang terbaik, jadi lagi kurang keluarkan kenyataan yang merenggangkan, saya rasa lagi baik,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata kerjasama secara dasarnya harus diteruskan semua pihak atas kepentingan rakyat, seperti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus memerlukan dokongan daripada Pas, Bersatu serta parti pembangkang.

“Kerana peringkat nasional ada tugas berat yang mesti dilaksanakan, itu formula sesuai yang kita akan terus dokong di kerajaan pusat, di negeri pula berbeza.

“Jadi biar Johor buat pertimbangan berasaskan kepentingan rakyat, kita di pusat pula terus membantu.

“Jadi pada saya tiada apa-apa salahnya dan insya-Allah PRN Johor akan berjalan baik ikut prosedur operasi standard, tanpa perlu merenggangkan hubungan politik antara parti.

“Jadi yang lain-lain itu kita cuba duduk, bincang jangan terlalu emosi dan jangan buat tuduhan-tuduhan menyinggung dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilaporkan berkata tindakan segelintir pemimpin UMNO yang enggan bekerjasama bersama Pas pada PRN Johor, disifatkan seperti tidak bermoral selepas bersama membentuk gabungan Muafakat Nasional.

Beliau dipetik sebagai berkata strategi untuk melaksanakan PRN juga adalah bukan strategi yang baik, tetapi dilakukan segelintir pihak serta mendakwa ia merupakan strategi kluster mahkamah, kluster kalah PRU14 dan mereka yang tiada jawatan.

 

 

 

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat