KOTA KINABALU,– Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor dijangka mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah malam ini, susulan keputusan tidak rasmi PRN Sabah ke-17 yang menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di landasan untuk membentuk kerajaan negeri.
Sumber dalaman GRS memaklumkan bahawa beberapa siri perbincangan kepimpinan telah berlangsung sejak petang tadi, termasuk rundingan dengan parti gabungan dan rakan strategik di peringkat Persekutuan.
Difahamkan, Istana Seri Kinabalu telah dimaklumkan mengenai perkembangan berkaitan pembentukan kerajaan baharu dan persediaan awal telah dibuat bagi proses menghadap Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Setakat kiraan tidak rasmi, GRS menguasai 30 kerusi DUN dan hanya memerlukan 7 lagi untuk membentuk kerajaan. Dengan Pakatan Harapan mempunyai 2 Adun dan beberapa calon bebas serta parti kecil lain Hajiji dijangka akan memperolehi cukup sokongan majoriti mudah.
Tinjauan SuaraTV sebentar tadi mendapati polis mula mengadakan sekatan di jalan masuk ke Istana TYT. Hanya RTM dan media tertentu yang tersenarai oleh Istana dibenarkan melepasi sekatan tersebut.
Upacara angkat sumpah dijangka berlangsung sebaik SPR mengumumkan keputusan rasmi, yang dijangka sekitar jam 11 malam ini.
SuaraTV akan melaporkan perkembangan dari masa ke masa.



