CYBERJAYA: Bekas naib presiden PKR, Tian Chua berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak wajar diketepikan daripada dilantik dalam Jemaah Menteri.
Bekas ahli parlimen Batu itu menjelaskan, ini kerana, peranan Zahid amat penting bagi memberi kestabilan dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, Zahid juga memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan yang menyaksikan BN bersetuju bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Pemimpin PH dan BN perlu membina kepercayaan dan keyakinan antara satu sama lain.
“Tidak dinafikan, masih terdapat keraguan dalam BN, khususnya Umno. Tetapi Zahid telah menunjukkan keupayaannya untuk menyatukan BN ke dalam pendirian bersama untuk bekerjasama dengan PH.
“Pengalaman Zahid dalam kerajaan adalah satu kelebihan dan beliau boleh melengkapi menteri PH yang tidak berpengalaman. Beliau juga boleh menjadi pengantara antara PH dan perkhidmatan awam dan segmen konservatif kerajaan.
“Zahid juga boleh berperanan dalam menghubungkan parti komponen lain dalam gabungan besar itu, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Tian Chua juga berkata, kerajaan tidak akan terus bebas menjadi sebuah “kerajaan bersih” dengan mengenepikan Zahid serta “kluster mahkamah” yang lain.
Katanya, pentadbiran sebelum ini juga tidak mempunyai menteri atau timbalan menteri yang berdepan kes mahkamah, namun dakwaan berlakunya rundingan terus dan pilih kasih dalam perolehan tetap menjadi isu.
Justeru, sekiranya Zahid menyertai Jemaah Menteri, ia tidak bermaksud beliau kebal dari pendakwaan, kata Tian Chua.
“Prosiding perbicaraan harus diteruskan dan Zahid mesti membuktikan beliau tidak bersalah di mahkamah.
“Jika kita mahu serius mengenai (membasmi) rasuah, kita memerlukan pembaharuan yang sebenar untuk merombak secara sistematik institusi pemerintahan kita.
“Untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan berkesan. Mujurlah PH menikmati permulaan yang baik. Bagaimanapun, PH tidak mampu untuk bercanggah dengan BN pada peringkat awal ini. Kerjasama antara Anwar dan Zahid adalah sangat penting,” ujarnya lagi.
Semalam, Anwar memberitahu pemberita beliau akan “mengambil kira semua pandangan”, ketika ditanya mengenai desakan supaya Ahli Parlimen yang berdepan kes mahkamah tidak dilantik dalam Jemaah Menteri.
Pengerusi PH itu menyatakan bawah undang-undang, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
NGO dan pemimpin seperti bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz menggesa Anwar tidak melantik ahli politik yang berdepan kes mahkamah sebagai menteri, sambil berkata ia akan mencalar imej negara.