Kerajaan Perpaduan Diharap Bentang Dan Luluskan Akta Perkhidmatan Awam, Kata bekas KP JPA

- Advertisement -

CYBERJAYA: Kerajaan Perpaduan wajar mewujudkan dasar tiada campur tangan politik dalam perkhidmatan awam bagi meminimumkan risiko rasuah dalam institusi berkenaan.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Borhan Dolah, berkata ia bagi memastikan perkhidmatan awam dapat melaksanakan tugas mengikut landasan tepat, tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, Kerajaan Perpaduan juga wajar membawa kembali draf Akta Perkhidmatan Awam untuk dibentang dan diluluskan.

Akta tersebut, menurut Borhan bertujuan memberi perlindungan kepada institusi perkhidmatan awam.

Katanya, draf akta berkenaan, yang dirangka pada 2018 dilihat mampu melindungi penjawat awam daripada kes kacau ganggu, membabitkan ahli politik dan pihak berkaitan.

“Akta ini bukan sahaja bertindak untuk memberi perlindungan kepada penjawat awam daripada mana-mana pihak yang membuat kacau ganggu, malah ia turut memperuntukkan tindakan yang boleh diambil ke atas kakitangan kerajaan yang tidak menjalankan tugas hakiki mereka.

“Draf ini terhenti pada peringkat perbincangan kerana ahli politik ketika itu tidak berani untuk merealisasikannya. Ini kerana ada klausa dalam akta ini menyatakan Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan, jika disabitkan kesalahan campur tangan dalam urusan perkhidmatan awam.

“Campur tangan ini datang dalam pelbagai bentuk, ada yang mahu pegawai tertentu membuat sesuatu perkara tidak mengikut lunas perundangan dan mereka berpotensi ditukarkan atau ditamatkan kontrak, jika enggan berbuat demikian,” katanya menurut laporan BH.

Selain itu, Borhan berkata, akta berkenaan turut memperuntukkan kuasa pertuduhan ke atas mana-mana pihak yang dikenal pasti membuat campur tangan politik dalam perkhidmatan awam.

“Ia wajar dilaksanakan bagi memastikan setiap urusan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan dengan tepat, betul dan cepat, selain boleh menjadi instrumen bagi membolehkan penjawat awam melaksanakan tugasan yang sepatutnya dikendalikan mereka.

“Menerusi akta ini, tindakan boleh dikenakan kepada ahli politik atau mana-mana pihak berkaitan yang dibuktikan campur tangan dalam urusan perkhidmatan awam, selain turut memberi kuasa perundangan ke atas penjawat awam yang tidak melaksanakan tugasan mereka secara betul,” katanya lagi.

Credit foto: Risda

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat