KUALA LUMPUR- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sekadar memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, Fashion Valet Sdn Bhd (Fashion Valet) kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023.
Jumlah itu diperoleh berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam Fashion Valet.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, pelaburan itu adalah sebahagian daripada mandat Khazanah pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapatkan pendedahan kepada tesis pelaburan dalam sektor e-dagang yang kian berkembang.
Pada masa sama, tesis pelaburan PNB adalah untuk menyokong syarikat runcit digital Bumiputera yang sedang berkembang pesat untuk menjadi platform runcit serantau bagi jenama Malaysia dan pelaburan ke dalam syarikat Fashion Valet bertujuan menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.
“Bagaimanapun, berikutan pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan Fashion Valet terjejas teruk dan lanjutan daripada itu, ia memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi.
“Pada akhir 2023, NXBT Partners menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet serta menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat itu.
“Justeru, semua pemegang saham bersetuju menerima tawaran berkenaan,” kata MoF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
MOF berkata demikian menjawab soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai jumlah pelaburan Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet serta jumlah kerugian akibat penurunan nilai dan penjualan saham Fashion Valet.
Menurut Kementerian Kewangan, jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet adalah amat kecil, berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan.
“Penjualan itu adalah langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada Fashion Valet kepada pelabur strategik yang akan dapat terus membantu Fashion Valet untuk menyelesaikan keperluan pembiayaannya secara holistik dan mengembangkan semula perniagaan dalam keadaan industri yang mencabar,” katanya.