Individu Hadir Sidang Media KM Pulau Pinang Dinasihat Kurangkan Pergerakan

- Advertisement -

GEORGE TOWN – Semua individu yang menghadiri sidang media Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada Rabu dinasihatkan mengurangkan pergerakan luar dan berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Kon Yeow berkata, nasihat itu dibuat selepas seorang petugas media di negeri itu telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula Khamis susulan menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Tegasnya, semua pihak termasuk petugas media perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja atau berada di tempat awam.

Menurut beliau, pihaknya telah menghubungi Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib untuk pengesahan serta mendapatkan panduan lanjut.

“Saya dimaklumkan bahawa seorang petugas media telah sah menjalani ujian saringan susulan menjadi kontak rapat kepada salah satu kes positif COVID-19 yang dilaporkan pada Khamis.

“Oleh itu, semua individu yang berada di sidang media semalam dinasihatkan supaya mengurangkan pergerakan luar, berada di rumah jika tiada keperluan untuk keluar dan pastikan pematuhan SOP ketika bekerja atau berada di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, JKN Pulau Pinang juga memaklumkan bahawa arahan kuarantin hanya akan dikeluarkan kepada kontak rapat kes yang disahkan positif COVID-19 sahaja.

“JKN Pulau Pinang akan berhubung rapat dengan Pejabat Ketua Menteri berhubung keputusan ujian saringan dan perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

“Saya minta, jangan tularkan maklumat yang bukan daripada sumber sahih sehingga mencetuskan situasi panik yang tidak sepatutnya,” katanya lagi.

Terdahulu, seorang petugas media Pulau Pinang diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah setelah rakan serumahnya disahkan positif (COVID-19).

Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (Mutiara) dalam satu kenyataannya berkata, petugas media yang juga ahli Mutiara itu menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Bayan Baru pada pagi Khamis.

Dia kini sedang menunggu keputusan ujian tersebut dan diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Sementara itu, Presiden Mutiara, Imran Hilmy Tawfik Hilmy berkata, tugasan terakhir jurukamera tersebut adalah sidang media Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pada Rabu.

“Mutiara ingin menasihati kontak rapat dalam kalangan ahli kelab atau rakan media yang lain agar segera mendapatkan nasihat perubatan dari Jabatan Kesihatan Pulau Pinang atau pun menjalani isolasi kendiri di rumah masing-masing.

“Diharapkan tidak ada mana-mana pihak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga keputusan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diperolehi,” katanya

Beliau berkata, semua aktiviti kelab yang dirancang dalam masa terdekat ditangguhkan buat sementara waktu. – Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat