KUALA LUMPUR – Alasan menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump datang menyertai Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur hanya kerana ingin meramaikan kawan sedangkan Malaysia tegas dengan pendirian membela Palestin, adalah sangat rapuh dan tidak boleh diterima oleh akal yang sihat.
Tambahan pula, hal ini berlaku dalam keadaan negara-negara di seluruh dunia, termasuklah negara bukan Islam, malah rakyat Amerika Syarikat sendiri, mula memulaukan Israel yang nyata keganasannya dengan sokongan Trump,” kata Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tegas Hadi, apabila negara kita mengundang Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi meramaikan kawan dan sahabat. Seorang yang nyata terlibat bersekongkol bersama Israel melakukan kekejaman yang paling melampau terhadap saudara kita di Palestin, khususnya di Gaza.
“Bahkan, sudah puluhan ribu kanak-kanak menjadi korban keganasannya, apatah lebih besar lagi angkanya kalau dicampurkan dengan kaum wanita, warga tua, dan pesakit yang berada di hospital. Pada masa yang sama, Israel juga telah memusnahkan rumah kediaman, khemah pelarian, dan rumah ibadat, sehingga turut membunuh petugas bantuan kemanusiaan.
“Jenayahnya telah disabitkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Namun begitu, Amerika Syarikat bukan sahaja menggunakan kuasa veto untuk membatalkan semua keputusan tersebut, bahkan turut membantu dengan segala jenis senjata dan bantuan ketenteraan secara langsung kepada Israel dengan arahan yang nyata oleh presidennya, Donald Trump.
“Donald Trump juga menjadi syaitan besar yang menggoda masyarakat dunia, menjadi pendamai yang zalim apabila meletakkan syarat supaya kumpulan rakyat Palestin yang berjuang demi mempertahankan diri dan tanah air dilucutkan senjatanya.
“Adapun Israel pula tidak diarahkan melakukannya, sebaliknya Amerika Syarikat terus menjadi pembekalnya dengan bertali arus, termasuklah membekalkan senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa kerana kesan kemusnahannya yang dahsyat.Kini, ia digunakan untuk menghancurkan Gaza,” jelas beliau dalam catatan Minda Presiden Pas pada Isnin.
Menurut Hadi lagi, Donald Trump juga turut menggoda rakyat Palestin dengan bantuan kewangan yang paling besar jumlahnya supaya menerima penyelesaian dua negara (two-state solution). Ataupun, mereka dipaksa berpindah dengan meninggalkan Palestin dan menyerah kepada Israel dalam keadaan Israel terus merampas kawasan yang masih menjadi tempat rakyat Palestin yang terpaksa berlindung.
Namun katanya, semua tawaran itu ditolak oleh rakyat Palestin yang tinggi maruahnya.
“Selaku syaitan besar, Trump juga menggoda pemimpin negara Islam dan Arab supaya menyembahnya,” bidas Hadi lagi.
Sebelum itu media melaporkan, kehadiran Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bulan depan akan membuka ruang lebih luas kepada Malaysia dan ASEAN menyuarakan isu Palestin secara terus di hadapan kuasa besar dunia.



