PH akan pilih rakan kerjasama berpotensi menang jika bertembung di PRN Sabah

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan memilih rakan kerjasama politik di Sabah berdasarkan potensi kemenangan mana-mana gabungan parti yang memasuki gelanggang pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Keputusan itu akan dilakukan sama ada akan bersama Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika terdapat pertembungan pencalonan di sesebuah kawasan.

Memetik laporan Utusan, Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun BN Sabah menyuarakan kebimbangan tidak mahu wujud ‘duri dalam daging’ dalam kerjasama politik tersebut, PH mempunyai kebebasan untuk menentukan rakan gabungan yang sesuai.

“Pemimpin BN Sabah bebas memberikan pandangan, sebagaimana PH juga bebas untuk memilih rakan gabungan kami. Kami bersedia bekerjasama dengan BN, kami juga bersedia bekerjasama dengan GRS.

“Sementara pandangan itu saya hormati, saya juga katakan bahawa pendekatan PH ini adalah memilih untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang boleh meningkatkan potensi kemenangan,” lapor akhbar itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, PH perlu menyatakan pendirian mereka sama ada bersama BN atau GRS jika kedua-dua parti itu bertembung di mana-mana kawasan pada PRN Sabah.

Ini kerana jelas Suhaimi, PH merupakan parti yang akan bekerjasama dengan BN dan juga GRS dalam keadaan kedua-dua parti berkenaan bermusuhan antara satu sama lain.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut berkata, pendekatan politik yang lebih inklusif itu diyakini dapat memberikan kelebihan kepada PH dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun katanya, adalah lebih baik semua pihak memanfaatkan kekuatan daripada mencari perbezaan di antara mereka.

“Saya rasa lebih baik kita memanfaatkan kekuatan dan kelebihan gabungan masing-masing. Itu lebih baik daripada mencari perbezaan ataupun membina titik permusuhan.

“Saya ingat kalau pendekatan politik macam itu dibuat, itu lebih baik. Politik maknanya kena lebih banyak berkawan. Itu yang lebih baik,” katanya.

PH dan BN kini berada di peringkat akhir rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Sabah, dengan hanya dua atau tiga kerusi belum dimuktamadkan bagi mengelakkan pertembungan satu sama lain.

Saifuddin sebelum ini berkata, walaupun wujud tuntutan bertindih terhadap kerusi tertentu, perbincangan secara bersama akan dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan bersama.

Untuk rekod, BN Sabah sebelum ini mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini.

Sementara baki 33 kerusi diberikan kepada PH.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat