KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Pulau Pinang mahu kembali tampil dengan identiti mereka sendiri apabila bercadang menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusinya Oh Tong Keong berkata, pihaknya berharap pimpinan Parti Gerakan Pusat dapat memohon kebenaran supaya Gerakan Pulau Pinang bertanding menggunakan logo parti memandangkan Perikatan Nasional (PN) pernah membenarkan parti komponennya berbuat demikian.
“Dengan adanya kebenaran itu, ia dapat memberi peluang kepada rakyat Pulau Pinang untuk kembali melihat logo Parti Gerakan di kertas undi selepas sekian lama,” katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan Parti Gerakan Pulau Pinang 2025 yang disempurnakan perasmiannya oleh Presiden parti, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, lapor Utusan di George Town pada Ahad.
Selain Tong Keong, pandangan agar Gerakan menggunakan logo sendiri turut disuarakan oleh Ketua Wanita Gerakan, Peilin Ooi Pei Nar dan juga Ketua Pemuda Gerakan, Tan Zhen Zune ketika berucap pada persidangan tersebut.
Tong Keong yang juga Timbalan Presiden Gerakan berkata, parti itu telah melalui empat penggal sukar dalam PRU dan PRN sehingga menyebabkan ada dalam kalangan ahli yang kecewa lalu bertindak meninggalkan parti atau tidak lagi aktif.
“Namun, masih ramai ahli yang setia, tidak meninggalkan parti dan tetap berjuang bersama untuk melihat Parti Gerakan kembali ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata, Pulau Pinang tidak mempunyai wakil pembangkang bukan Melayu, sekali gus menyebabkan pelbagai isu masyarakat terpinggir dan tidak ditangani kerajaan negeri.
“Walaupun kami menggunakan media untuk menyuarakan masalah rakyat, kerajaan negeri sering tidak menjawab dengan betul atau langsung tidak memberi perhatian. Rakyat perlu sedar bahawa DUN tanpa semak dan imbang akan merugikan mereka,” katanya.
Sementara itu, Dominic berkata, beliau telah mendengar cadangan dan suara Gerakan Pulau Pinang untuk menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya nanti namun perkara itu masih dalam penelitian dan memerlukan analisis mendalam mengenai keberkesanannya.
“Ini pandangan daripada akar umbi di Pulau Pinang. Tetapi sama ada ia mampu bangkitkan semula Gerakan dalam arena politik, kita kena buat analisis. Apa-apa keputusan mesti dibuat dengan penuh tanggungjawab,” katanya yang memberitahu, setiap keputusan besar dalam parti bukan hanya ditentukan oleh Presiden, tetapi, melalui Jawatankuasa Pusat dan Jawatankuasa Kerja Pusat.



