KUALA LUMPUR – Tiada siapa mahu buat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada musim banjir.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat penegasan bahawa PRU-15 tidak akan dibuat ketika musim banjir malah mempersoalkam ‘ilmu kasyaf’ yang dimiliki pembangkang berkenaan isu banjir.
“Tiada siapa yang mahu buat (PRU-15) musim banjir, macam mana pembangkang tahu ada banjir, mereka ada ilmu kasyaf?” katanya membidas kritikan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) apabila mendakwa Umno dan Barisan Nasional (BN) mahu melaksanakan PRU-15 ketika musim banjir.
“Kami ini pun manusia juga, kalau banjir pun kami yang turun dahulu, Umno dan BN lah yang bertungkus-lumus turun. Janganlah ingat kami tiada sifat prihatin, kami lagi prihatin.
“Tiada siapa yang mahu buat musim banjir, macam mana pembangkang tahu ada banjir, mereka ada ilmu kasyaf?. Kalau pun banjir bukan seluruh negara banjir.
“Kalau pun banjir misalnya di Kelantan, di kawasan yang terlibat banjir itu kita tangguhkan pengundian, selagi dalam 60 hari waktu yang digazetkan untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adakan pilihan raya selepas Parlimen bubar, pilihan raya umum boleh diadakan,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno-BN.
Untuk makluman, ilmu kasyaf ialah satu istilah pembukaan hijab melalui ilham, ia merupakan sumber maklumat yang menyamai wahyu kepada nabi-nabi.
Kasyaf ditakrifkan sebagai menyingkap maklumat di sebalik hijab yang berupa perkara ghaib dan perkara-perkara yang benar ada.
Lapor Utusan di Rembau, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN mencadangkan supaya pengundian ditangguhkan di lokasi yang terlibat banjir.
“Kalau banjir takkan sampai dua minggu, misalnya di daerah Tampin, tiga ke empat kawasan banjir, kita tangguhkan dahulu
“Peti undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dikunci supaya tidak mengganggu dan apabila kawasan-kawasan peti undi tidak banjir lagi, katakan tiga hari sudah surut, kita buat lah pengundian,” katanya yang berpandangan SPR mempunyai kuasa untuk menangguhkan pengundian di kawasan terjejas.
Sementara itu, mengulas mengenai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung esok, Mohamad memberitahu, tiada agenda yang khusus dalam mesyuarat tersebut.
“Ia adalah laporan daripada jawatan kuasa pengurusan saya yang akan menerangkan keadaan semasa persiapan parti. Terdapat 53 bahagian yang telah dikenal pasti berada dalam keadaan kurang selamat,” katanya lagi.
Mengulas mengenai perkembangan terkini hubungan Umno dengan Pas, beliau memaklumkan masih belum mendapat butiran mengenai perbincangan antara dua presiden parti tersebut.
“Mungkin dalam pertemuan Biro Politik dan Top 5 akan menerangkan apa yang dibincangkan dalam pertemuan mereka berdua,” katanya.