KUALA LUMPUR – Suria FM sekali lagi mencuri perhatian dengan pengumuman kembalinya Jelajah Suria, kali ini dengan konsep baharu yang lebih dinamik, ‘Jelajah Suria Kuasa 2’. Menerusi kerjasama yang pertama kali terjalin bersama Yaya Empire, acara ini menjanjikan pengalaman yang lebih luar biasa bagi peminat hiburan tanah air.
Dengan empat lokasi utama sebagai destinasi jelajah, penonton dijanjikan pengalaman yang penuh warna-warni dan bertenaga di Mydin Bukit Mertajam, Penang; Plaza Angsana, Johor Bahru; AEON Mall Nilai, Negeri Sembilan; dan AEON Kota Bharu, Kelantan. Setiap lokasi akan menjadi tuan rumah selama dua hari dengan aktiviti yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam.
Yang menjadikan Jelajah Suria Kuasa 2 lebih istimewa adalah kolaborasi eksklusif dengan Yaya Empire, sebuah jenama yang semakin meningkat naik dalam industri minyak wangi tempatan. Kolaborasi ini mencerminkan sinergi yang kuat antara kedua-dua jenama dalam membawa hiburan dan gaya hidup ke tahap yang baru.
Pengarah Urusan Yaya Empire, Puan Nadia Binti Mat Isa, menyatakan keterujaannya untuk berkolaborasi bersama Suria FM. “Kami sangat bersemangat untuk menyertai Jelajah Suria Kuasa 2 dan membawa 580 jenis bauan, termasuk edisi terbaru kami, ‘Bear Edition’. Ini adalah peluang hebat untuk kami berinteraksi secara langsung dengan pelanggan setia kami,” katanya.
Menambah kemeriahan, Jelajah Suria Kuasa 2 akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan KiraOke Suria dengan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM 36,000. Pengunjung juga akan dihiburkan dengan Konsert Jelajah Suria Kuasa 2 yang menampilkan barisan artis popular seperti Kristal X, Zamani Slam, Haqiem Rusly, Ernie Zakri, dan ramai lagi.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), jelajah ini adalah peluang untuk Suria FM berhubung semula dengan peminat setia. “Kami sangat teruja untuk kembali turun padang dan bertemu peminat menerusi Jelajah Suria Kuasa 2. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga peluang untuk peminat memenangi hadiah menarik dan berinteraksi dengan penyampai radio kegemaran mereka,” jelasnya.
Bagi yang tidak mahu ketinggalan sebarang informasi terkini mengenai Jelajah Suria Kuasa 2, Suria FM menyarankan peminat untuk mengikuti mereka di platform media sosial seperti Instagram, Facebook, dan TikTok. Suria FM juga telah menyediakan hashtag khusus seperti #JelajahSuriaKuasa2 dan #suriamalaysia untuk memudahkan peminat mengikuti perkembangan jelajah ini.
Jelajah Suria Kuasa 2 bukan sahaja menjanjikan hiburan yang penuh aksi, tetapi juga merupakan platform untuk para artis, penyampai radio, dan jenama seperti Yaya Empire untuk lebih dekat dengan para penggemar. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman ini!