KDNK akan melonjak RM220 bilion pada 2050 hasil kejayaan NETR – Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kejayaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah kritikal bagi mengukuhkan ekonomi dan sektor tenaga negara supaya kalis tantangan masa hadapan.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan NETR dijangka akan menghasilkan tiga dampak positif kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Pertama, peningkatan nilai tambah KDNK daripada RM25 bilion pada tahun 2023 kepada RM220 bilion pada tahun 2050.

“Kedua, penciptaan peluang pekerjaan yang diwujudkan secara langsung berjumlah 310,000 menjelang tahun 2050.

“Ketiga, pengurangan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gases – GHG) oleh sektor tenaga sebanyak 32 peratus daripada 261 MtCO2eq. pada tahun 2019 kepada 175 MtCO2eq pada tahun 2050,” katanya pada Selasa.

Bagi mencapai sasaran NETR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menganggarkan keperluan pelaburan sekurang-kurangnya RM1.2 trilion sehingga tahun 2050.

Jelasnya, kerajaan juga akan menyediakan Dana Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Facility – NETF) dengan dana pemula sebanyak RM2 bilion bagi mendukung pelaksanaan projek peralihan tenaga.

“NETF akan memangkin pembiayaan campuran (blended financing) dari sektor swasta dan pembiayaan antarabangsa bagi meningkatkan akses pembiayaan untuk projek peralihan tenaga yang penting tetapi belum mencapai tahap komersial yang boleh diterima bank (bankable).

“Dalam hubungan ini, saya akan mempengerusikan Majlis Tenaga Negara (MTN) yang bertanggungjawab memastikan perancangan sektor tenaga secara menyeluruh di samping turut memantau pelaksanaan NETR,” jelas Anwar.

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, peralihan tenaga adalah salah satu inisiatif penstrukturan semula ekonomi negara di bawah gagasan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat.

Kata beliau lagi, menerusi NETR, kerajaan bertekad tegas dalam soal kebijakan bahawa Malaysia perlu dilonjakkan sebagai sebuah tatanan yang di depan menerajui sektor peralihan tenaga di kalangan anggota ASEAN, selain memberi isyarat jelas dalam soal halatuju ekonomi negara.

“Saya lontarkan kepada hadirin bahawa pengurusan peralihan tenaga yang berkesan memerlukan pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation) yang pastinya melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, industri, masyarakat awam dan masyarakat antarabangsa.

“Pembangunan kerangka NETR ini didasari oleh 4 prinsip utama yakni aspirasi dan komitmen negara mengenai perubahan iklim serta pembangunan sosio ekonomi; aspek keadilan, keterangkuman dan kecekapan kos; tatakelola yang berkesan dan pendekatan keseluruhan negara; dan berdampak tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan serta keterlibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem rantaian nilai sektor tenaga,” ujarnya.

Tambah Anwar, NETR menggariskan enam pemacu peralihan tenaga iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

“Selain itu, lima pemboleh daya silang telah dikenal pasti iaitu pembiayaan dan pelaburan, kebijakan dan peraturan, modal insan, infrastruktur dan teknologi serta persoalan tatakelola.

“Bagi menjelmakan hasrat murni yang amat ‘ambitious’ ini, NETR telah menggariskan 50 inisiatif utama dan 10 projek flagship yang akan memastikan peralihan tenaga dapat memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat