SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan solat sunat Aidiladha di semua masjid dan surau dilaksanakan dengan kaedah kehadiran jemaah secara terbuka (berdasarkan siapa datang dulu).
Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kaedah itu boleh diguna pakai sehingga kapasiti sebenar jemaah di ruang solat dipenuhi selepas penjarakan sosial 1.5 meter dilakukan.
Bagaimanapun, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) dikecualikan kerana melaksanakan penggunaan e-Pass.
“Bagi kehadiran jemaah Muslimat (wanita), ia hanya dibenarkan di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, dengan had seramai 220 orang di ruang solat khas Muslimat, manakala di Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula dengan had 250 Muslimah.
“Pelaksanaan solat sunat bagi semua masjid serta surau di Selangor adalah pada jam 8 pagi dan jemaah diminta mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan ibadah korban hanya akan dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid daerah, masjid diraja, masjid naik taraf, masjid institusi dan masjid kariah atau tempat ditentukan oleh pihak masjid.
Semua jemaah dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid serta surau sekali gus diminta sentiasa mematuhi langkah pencegahan dan garis panduan ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
“Ketetapan dilakukan ini harus diambil berat oleh semua pihak dalam memastikan kelangsungan peranan institusi masjid dan surau dapat diteruskan serta berjalan lancar ke arah pembinaan kesatuan dan kekuatan umat Islam,” katanya.