Desas-desus kononnya terdapat 11 orang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pasa pemilihan parti bukan sahaja tidak berasas, malah dilihat berniat jahat untuk mewujudkan ketidakstabilan politik dan menggugat keyakinan rakyat terhadap kerajaan perpaduan.
Ahli-ahli Parlimen PKR yang disebut dalam mesej tular itu termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli (Ahli Parlimen Pandan); Chang Lih Kang (Tanjong Malim); Tan Kar Hing (Gopeng); Akmal Nasir (Johor Bahru); Wong Chen (Subang); Zahir Hassan (Wangsa Maju); Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang); Onn Abu Bakar (Batu Pahat); Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson); dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).
Kesemua mereka adalah tokoh yang mempunyai kedudukan utama dalam parti dan kerajaan, sama ada sebagai Menteri, Timbalan Menteri, atau Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Dakwaan ini nyata tidak masuk akal. Dua daripada mereka Chang Lih Kang dan Aminuddin Harun baru sahaja dipilih sebagai Naib Presiden PKR, iaitu jawatan tertinggi selepas Presiden dan Timbalan Presiden, hasil mandat akar umbi parti. Chang Lih Kang juga merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Aminuddin terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Tidak wujud sebarang logik politik atau rasional untuk mempercayai mereka akan mengkhianati parti dan kepimpinan Perdana Menteri.
Malah, majoriti individu yang dinamakan adalah sebahagian daripada saf kepimpinan utama PKR dan telah menunjukkan komitmen yang konsisten terhadap perjuangan parti serta agenda reformasi sejak sekian lama. Fitnah seperti ini bukan sahaja mencemarkan nama baik mereka, tetapi turut memberi gambaran bahawa ada usaha terancang untuk mencetuskan keraguan terhadap kestabilan kerajaan perpaduan.
Lebih penting lagi, beberapa Ahli Parlimen terbabit telah secara terbuka menafikan dakwaan tersebut. Chang Lih Kang menyifatkan mesej yang tersebar itu sebagai “mengarut”, malah telah memaparkan tangkap layar kandungan palsu tersebut dengan penjelasan rasmi.
Tan Kar Hing pula menyatakan bahawa khabar angin ini adalah fitnah politik berniat jahat dan perlu dihentikan segera. Penafian terbuka dan tegas daripada mereka yang dinamakan jelas membuktikan bahawa khabar angin tersebut tidak bersandarkan kepada sebarang fakta.
Adalah amat membimbangkan apabila politik negara terus dicemari oleh taktik lapuk berbentuk manipulasi dan penyebaran maklumat palsu.
Sekiranya ada pihak yang benar-benar ingin menukar kerajaan, maka saluran yang sah dan berperlembagaan adalah melalui Pilihan Raya Umum.
Menggunakan mesej palsu dan politik persepsi untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah bukan sahaja tidak bermaruah, malah boleh mengancam kestabilan negara serta keyakinan pelabur dan rakyat.
Sudah tiba masanya politik negara beranjak ke fasa yang lebih matang dan beretika. Segala bentuk penyebaran berita palsu, khususnya yang melibatkan kestabilan negara, perlu ditolak oleh semua lapisan masyarakat.
Kestabilan kerajaan perpaduan hari ini adalah asas penting untuk Malaysia melangkah ke hadapan, dan kestabilan itu tidak wajar digugat hanya kerana segelintir pihak tidak sabar menunggu proses demokrasi yang sah.
Rakyat tidak lagi ingin menjadi penonton kepada sandiwara politik yang membosankan. Apa yang mereka dambakan ialah sebuah kerajaan yang stabil, progresif dan mampu memacu perubahan. Untuk itu, hentikanlah politik fitnah. Jika ingin berkuasa, lakukanlah secara berani dan bermaruah di peti undi, bukan di aplikasi mesej palsu.