Gusmao yakin Timor-Leste mampu penuhi semua instrumen undang-undang untuk diterima jadi anggota ASEAN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Timor-Leste yakin mampu untuk memenuhi semua instrumen undang-undang yang ditetapkan sebelum negara itu dapat diterima menjadi anggota ASEAN pada tahun ini.

Perdana Menterinya Kay Rala Xanana Gusmao berkata, beliau percaya ia dapat direalisasikan kerana semua pihak memberi sokongan untuk Timor-Leste menjadi anggota blok serantau berkenaan.

“Saya percaya dan kita cuba yang terbaik. Kita sudah memenuhi banyak kriteria dan sudah tentu ada beberapa lagi (yang perlu dipenuhi). Kita akan lakukannya sebelum hujung tahun ini.

“Anda tahu kenapa? Kerana ia adalah negara kecil, yang bersendirian di situ (merujuk kepada kedudukan geografi Timor-Leste),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 pada Isnim.

Semalam, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Malaysia mengusulkan supaya Timor-Leste dimasukkan terlebih dahulu ke dalam ASEAN sebagai anggota terbaru tahun ini, walaupun negara itu belum berjaya mencapai 66 Instrumen Undang-Undang blok berkenaan.

Mohamad berkata, Malaysia melihat wujudnya kepentingan supaya Timor-Leste menjadi ahli keluarga ASEAN dan diberikan masa beberapa tahun untuk negara itu memenuhi semua instrumen undang-undang yang perlu dipatuhi.

Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.

Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat