KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani didakwa melakukan rompakan terbaru dengan menarik balik subsidi gas memasak yang dianggap tindakan tidak berperikemanusiaan.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan kerajaan menarik balik subsidi gas memasak daripada golongan peniaga kecil dan sederhana bermula 1 Mei 2025 adalah satu bentuk rompakan sah terhadap rakyat oleh Kerajaan Madani.
“Langkah mewajibkan penggunaan tong gas komersial 14kg berwarna ungu berharga RM70 menggantikan tong subsidi isi rumah berharga RM26.60 adalah satu bentuk penindasan terang-terangan ke atas pengusaha kecil.
“Ini kenaikan lebih 160 peratus satu angka luar biasa yang boleh menghancurkan daya saing perniagaan kecil di Malaysia.Dengan hanya tiga tong sehari, kos operasi bulanan boleh melonjak lebih RM1,300.
“Ini bukan rekaan ini adalah realiti matematik: 3 tong sehari x RM70 x 30 hari = RM6,300 sebulan; bandingkan dengan sebelum ini: 3 tong sehari x RM26.60 x 30 hari = RM2,394 sebulan; kenaikan: RM3,906 sebulan hanya untuk gas!
“Apa yang lebih mengaibkan, kerajaan langsung tidak menyediakan pelan mitigasi atau peralihan. Sebaliknya, peniaga kecil disuruh terus mematuhi dasar baharu ini dalam suasana penuh tekanan, tanpa perincian yang jelas dan tanpa ruang perbincangan.
“Adakah ini definisi Madani? Menindas penjaja kecil di lorong-lorong belakang sementara kroni terus bergelumang dalam projek-projek mega? bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
Fadhli menggariskan beberapa kesan daripada langkah zalim ini antaranya ialah kenaikan harga makanan.
“Nasi ayam RM9 mungkin jadi RM11. Kuih-muih naik 30 sen ke RM1.50 Pelanggan makin tertekan. Kuasa beli rakyat akan menjunam, orang makin kurang makan luar.
“Peniaga mikro dan B40 bakal terkubur. Mereka tidak mampu menampung lonjakan kos sedemikian rupa, begitu juga industri F&B akan lumpuh. Katering, food truck, pengusaha dobi, semua akan terkena impak.
“Inflasi makanan akan melonjak. Harga siling makanan harian rakyat akan pecah, tetapi kerajaan tetap berdalih kononnya rakyat biasa tidak terkesan.
“Kerajaan tidak boleh berselindung di sebalik alasan “ini hanya untuk peniaga”. Bila peniaga menanggung kos tambahan RM4,000 sebulan, adakah mereka akan kekal jual makanan dengan harga sama? Tidak! Beban itu akan kembali ke pinggan rakyat,” tegas beliau.
Justeru Fadhli membuat beberapa tuntutan kepada kerajaan yakni menarik balik serta-merta penarikan subsidi ini; menghentikan tekanan ke atas peniaga kecil dan menghormati mereka sebagai tulang belakang ekonomi.
“Selain itu, membentangkan pelan subsidi bersasar yang telus, adil dan boleh dilaksanakan.
“Memberikan tempoh transisi minimum 12 bulan sebelum sebarang pelaksanaan drastik.
“Sekiranya kerajaan terus bongkak dan pekak terhadap suara rakyat marhaen, maka rakyat berhak menolak kerajaan ini dalam pilihan raya akan datang.
“Reformasi yang dilaung-laungkan telah bertukar menjadi reformoney memperkaya kroni, memiskinkan rakyat.Ini bukan pentadbiran. Ini rompakan gaya moden. Lebih tepat lagi rompakan Madani,” ujarnya.