KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, negeri Pahang pertama berjaya menoktahkan miskin tegar.
Menurutnya, berdasarkan statistik Miskin Tegar Negeri Pahang yang dikeluarkan Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, pada Januari 2023 terdapat 4,968 KIR tergolong dalam kumpulan miskin tegar.
Jelasnya, statistik ini kemudiannya menurun sebanyak 60.8 peratus apabila seramai 3,022 KIR telah terkeluar daripada status miskin tegar pada 31 Disember 2023.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana usaha Kerajaan Negeri Pahang untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini seramai 4,968 Ketua Isi Rumah (KIR) telah pun berjaya dilaksanakan pada 28 Mei 2024.
“Berdasarkan statistik Miskin Tegar Negeri Pahang yang dikeluarkan Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, pada Januari 2023 terdapat 4,968 KIR tergolong dalam kumpulan miskin tegar. Statistik ini kemudiannya menurun sebanyak 60.8 peratus apabila seramai 3,022 KIR telah terkeluar daripada status miskin tegar pada 31 Disember 2023,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya, pada Rabu.
Kata Wan Rosdy lagi, Kerajaan Negeri Pahang bersama-sama Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Pejabat Daerah serta agensi-agensi pemberi bantuan di negeri ini telah berusaha keras dalam memastikan baki 1,946 KIR miskin tegar dapat dinoktahkan pada tahun ini.
Katanya lagi, berkat kerjasama dan usaha jitu daripada pelbagai pihak telah membuahkan hasil apabila Kerajaan Negeri Pahang berjaya menoktahkan baki 1,946 miskin tegar itu pada 28 Mei 2024.
Namun begitu tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah miskin tegar ini akan kembali semula dan Kerajaan Negeri telah bersedia sebaik mungkin untuk memantau dan menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar ini agar kemiskinan tegar ini dapat terus dikawal dan dikurangkan.
“Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini,” ujarnya.