PRN: BN Tuntut Agihan Kerusi Sama Rata Dengan PH di Negeri Sembilan – Jalaluddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Umno menuntut pembahagian sama rata kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan demi mencerminkan semangata Kerajaan Perpaduan yang terbentuk di peringkat pusat ketika ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias baru-baru ini sekali lagi meminta pertimbangan Pakatan Harapan (PH) supaya pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi PRN di negeri itu kelak dilakukan sama rata di antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Jalaluddin mengulangi hasrat tersebut semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di Gemas, Tampin baru-baru ini.

Turut hadir, Presiden Umno yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar yang juga Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurut Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, pembahagian sama rata itu penting demi mencerminkan semangat kerajaan perpaduan yang terbentuk di peringkat kerajaan Pusat ketika ini.

Zahid ketika berucap dalam majlis tersebut turut memberi respons dan menyatakan bersetuju dengan hasrat Jalaluddin tersebut.

“Saya pun bersetuju dengan apa yang Datuk (Seri) Jalal (Jalaluddin) minta, itulah namanya rakan perkongsian. Jangan risau Datuk MB (Menteri Besar), runding elok-elok dengan Datuk Jalal, di atas saya pula berunding dengan bos (ketua) Datuk MB,” katanya lapor Utusan pada Isnin.

Ketika ini, daripada 36 kerusi DUN yang terdapat di Negeri Sembilan, 20 daripadanya dimenangi oleh PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 manakala baki 16 kerusi lain dimenangi BN. Sekiranya PH bersetuju untuk pengagihan kerusi DUN yang sama rata untuk ditandingi kelak, parti itu perlu melepaskan dua kerusi yang dimenangi ketika ini kepada BN. Ia menjadikan masing-masing, iaitu PH dan BN mempunyai 18 kerusi untuk ditandingi mereka pada PRN nanti.

Menuju PRN yang semakin hampir dengan dijangkakan DUN Negeri Sembilan akan dibubarkan pada penghujung bulan hadapan, adakah PH bersedia untuk melepaskan dua kerusi mereka itu? Meneliti daripada 20 kerusi yang dimiliki oleh PH ketika ini, DAP membentuk sebanyak 11 kerusi diikuti PKR yang diketuai oleh Aminuddin sebanyak enam kerusi dan tiga kerusi lagi pula milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Di antara ketiga-tiga parti yang membentuk PH, siapakah pula yang bersedia untuk berlapang dada melepaskan kerusi mereka?

BN di Negeri Sembilan ketika ini tidak mempunyai sebarang wakil dari MCA di setiap DUN dimenangi mereka. Sekiranya ruang mahu diberikan kepada MCA kali ini, kerusi-kerusi DAP sudah tentu menjadi pertimbangan yang wajar.

Tetapi sekali lagi, bersediakah pula DAP? Jika melihat kepada kenyataan Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Setiausaha Agung parti, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini, mereka mencadangkan parti yang memenangi kerusi DUN di negeri ini pada PRU14 lalu perlu kekal bertanding di kerusi tersebut pada PRN akan datang. Oleh itu, secara tidak langsung, Anthony memberikan gambaran DAP tetap mahu 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini tetap ditandingi oleh mereka.

Amanah pula tentu sukar melakukan pengorbanan dengan hanya tiga kerusi yang mereka ada. Jika mereka lepaskan dua lagi kerusi, hanya tinggal satu kerusi yang pastinya akan mengecilkan lagi pengaruh parti itu di Negeri Sembilan.

Adakah Aminuddin bersedia mengorbankan kerusi PKR demi semangat perpaduan? Jika itu berlaku, PKR pula hanya akan memiliki empat kerusi. Dua kerusi dari PKR ketika ini diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan Melayu, iaitu di DUN Sri Tanjung dan DUN Chuah, kedua-duanya dalam Parlimen Port Dickson.

Daripada 16 kerusi DUN yang dipunyai oleh BN ketika ini di Negeri Sembilan, 15 kerusi merupakan milik Umno. Jika gabungan PH-BN berjaya pada PRN nanti, timbul pula persoalan, siapakah layak menjadi Menteri Besar?

Sebagai sebuah parti yang akan mempunyai lebih ramai ADUN Melayu, sudah tentu UMNO wajar untuk menuntut jawatan Menteri Besar. Persoalan kini kembali kepada PH, adakah mereka bersedia? Ia bukan hanya dua kerusi tetapi juga jawatan Menteri Besar.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat