21 Peratus Guna Alasan ‘Peranti Dikemas Kini’ Untuk Elak Mesyuarat – Kaspersky

- Advertisement -

LEBIH satu perlima pekerja dikesan menggunakan alasan melibatkan kemas kini sistem komputer untuk elak menghadiri mesyuarat.

Kajian oleh syarikat keselamatan siber dunia, Kaspersky mendedahkan 21 peratus berpura-pura peranti mereka sedang dikemas kini sehingga tidak perlu menghadiri mesyuarat dalam talian atau menerima panggilan.

Kajian turut mendapati 35 peratus menggunakan alasan sama sebagai punca terlambat menghadiri mesyuarat dalam talian.

Hasil kajian terbaharu Kaspersky itu meneroka sikap serta tabiat pekerja terhadap kemas kini sekali gus menunjukkan mesyuarat merupakan salah satu perkara paling tidak menyenangkan di dalam rutin seharian pejabat.

Peralihan cara bekerja dari rumah dan perjumpaan secara maya tidak membantu menyelesaikan masalah ini kerana pekerja berasa penat dengan panggilan video selain lebih letih selepas waktu kerja.

Penyelidikan Kaspersky mendapati sebilangan pekerja menggunakan alasan peranti yang tidak dikemas kini untuk menangguhkan panggilan video.

Alasan itu dipercayai rakan sekerja lain kerana mereka sendiri berdepan pengalaman untuk mengemas kini peranti masing-masing.

Ia diperkuatkan lagi dengan 37 peratus pekerja kehilangan sebahagian daripada kerja atau data yang belum disimpan ketika komputer riba mereka dihidupkan kembali selepas dikemas kini.

Sebilangan pekerja juga melihat ia menjadi alasan untuk menangguhkan kerja dengan 27 peratus responden mengakui mereka sengaja menetapkan waktu mengemas kini untuk membuang masa di tempat kerja.

Walaupun begitu, kebanyakan pekerja juga tidak menyukainya kerana akan mengganggu kerja mereka dan 65 peratus berharap proses kemas kini berjalan di waktu luar kerja untuk mengekalkan produktiviti masing-masing.

Pengurus Perkhidmatan IT dan Kumpulan Aset di Kaspersky, Egor Kharchenko menjelaskan, muat turun kemas kini biasanya dilakukan pada waktu pejabat dalam mod senyap dan tidak mengganggu perjalanan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, mula semula diperlukan untuk memastikan ia tersedia di dalam sistem walaupun pada saat yang tidak sesuai.

Untuk memudahkan kemas kini, Kaspersky mengesyorkan pekerja dan pentadbir bahagian teknologi maklumat sentiasa merancang kemas kini pada akhir hari kerja, semasa peranti masih aktif dan boleh memuat turun kemas kini yang diperlukan dengan aktiviti pekerja biasanya yang lebih ringan.

Sekiranya boleh, pentadbir IT boleh membangunkan rangkaian kawasan setempat (local area network-LAN) untuk membolehkan stesen kerja dihidupkan melalui rangkaian sekali gus membolehkan kemas kini dapat dimuat turun di luar waktu bekerja.

Selain itu, Kaspersky juga mengesyorkan pengguna dibahagikan kepada beberapa kumpulan, termasuk satu kategori ujian.

Urusan kemas kini perlu dibuat satu persatu, supaya bahagian IT dapat menolong semua orang tepat pada masanya jika ada yang sesuatu yang tidak kena.

Bahagian IT juga perlu memaklumkan kepada kakitangan mengenai fungsi auto save yang terdapat di beberapa perisian produktiviti pejabat yang secara automatik akan menyimpan semua perubahan mereka.

Mereka juga perlu memasang penyelesaian perlindungan titik akhir dengan ciri pengurusan tampalan, seperti Kaspersky Endpoint Security for Business.

Pada bulan April 2021, Kaspersky menugaskan agensi penyelidik Savanta untuk melakukan tinjauan dalam talian terhadap 15,000 responden untuk meneroka kecenderungan kemas kini peranti.

Sampel tersebut merangkumi 1,000 responden masing-masing dari UK, Perancis, Jerman, Itali dan Sepanyol serta 500 masing-masing dari Amerika Syarikat, Belanda, Austria, Portugal, Romania, UAE, Turki, Afrika Selatan, China, India, Australia, Brazil, Mexico, Argentina, Colombia, Chile, Peru dan Rusia.

Semua responden menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet untuk kehidupan peribadi atau pekerjaan mereka dengan 76 peratus daripada mereka kini masih mempunyai pekerjaan.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat