Oleh Zihan Zari
YAN – Seramai 78 pesalah yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) siri ke-3 di enam negeri secara serentak pada Sabtu.
Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dalam kenyataan berkata PKM kali ini telah dilaksanakan di Dataran Sena, Kangar, Perlis; Pantai Murni, Yan, Kedah; Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan; Taman Tasik Bandar, Temerloh, Pahang; Jalan BBN 1/2, Bandar Prima, Senawang, Negeri Sembilan; dan di Kampung Senibong, Johor Bahru, Johor.
“PKM sebagai sebahagian daripada strategi penguatkuasaan bersepadu untuk membanteras amalan pembuangan sampah kecil di tempat awam dan jalan awam di bawah Akta 672.
“Pendekatan ini berteraskan hukuman restoratif yang bukan sahaja memberi pengajaran, malah membuka peluang pemulihan kepada pesalah melalui penglibatan langsung dalam aktiviti komuniti sekali gus menyemai nilai tanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.
“Dalam memastikan pelaksanaan PKM berjalan lancar dan selamat, SWCorp telah mengambil langkah proaktif dengan mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), berikutan keadaan cuaca tidak menentu dan suhu tinggi yang sedang melanda negara.
“Di samping itu, penglibatan Pejabat Kesihatan Daerah yang menempatkan petugas di lokasi pelaksanaan turut memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan pemantauan program dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,”kata kenyataan itu.
“Pelaksanaan ini menumpukan kepada kerja-kerja pembersihan secara menyeluruh termasuk pembersihan siar kaki dan jalan awam, sistem saliran (scupper drain), tandas awam dan kawasan pantai bagi memastikan persekitaran awam yang bersih, selamat dan sihat selaras dengan usaha kerajaan untuk membudayakan pengurusan sisa pepejal yang bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai kesinambungan pelaksanaan, PKM siri ke – 4 akan melibatkan lima pesalah di Perlis pada 29 Mac 2026, manakala PKM Siri Kelima akan melibatkan enam pesalah pada 30 Mac 2026,”katanya lagi.
Dalam kenyataan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed, menegaskan bahawa pelaksanaan PKM bukan sekadar bentuk hukuman, malah merupakan mekanisme pendidikan sivik kepada masyarakat.
Menurut beliau, melalui penglibatan langsung dalam komuniti, individu dapat memahami bahawa tindakan kecil seperti membuang sampah secara tidak bertanggungjawab memberi kesan besar kepada kesejahteraan bersama dan kualiti ruang awam.
Menurutnya lagi, pendekatan ini juga diharapkan dapat memupuk kesedaran dan membentuk disiplin dalam menjaga kebersihan secara berterusan.
“Bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar dan teratur, setiap aktiviti PKM dipantau secara rapi oleh pegawai penguat kuasa SWCorp dengan pematuhan ketat terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk aspek keselamatan dan kebajikan pesalah.
“Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui SWCorp dalam memperkukuh tadbir urus pengurusan sisa pepejal negara.
“Sehingga kini, SWCorp telah mengeluarkan sebanyak 1,342 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di tujuh negeri di bawah Akta 672 melibatkan 1,058 warganegara tempatan dan 284 warganegara asing, ”ujarnya.
Ujarnya lagi, selain PKM, SWCorp turut melaksanakan pelbagai operasi penguatkuasaan bagi menangani isu pembuangan sampah kecil.
Antaranya Ops Perantau Rehat dan Rawat (R&R) yang dijalankan dari 7 hingga 19 Mac 2026 melibatkan 49 NPK merentasi 40 operasi di 19 lokasi R&R serta Ops Ambang Aidilfitri pada 20 Mac 2026 yang mencatatkan 36 NPK daripada 26 operasi di 35 lokasi.
“Dalam masa yang sama, SWCorp terus mempergiat usaha penguatkuasaan melalui serbuan dan tangkapan di lokasi hotspot yang dikenal pasti sebagai tumpuan aktiviti pembuangan sisa pepejal secara tidak bertanggungjawab.
“Tindakan ini melibatkan kesalahan pembuangan di lokasi yang tidak dibenarkan dan operasi tanpa lesen sah di bawah Akta 672, khususnya Seksyen 71(1) dan Seksyen 14(1).
“Sepanjang tahun 2025, sebanyak 3,816 operasi pembasmian dan penutupan tapak sampah haram telah dilaksanakan di seluruh negara, melibatkan pembersihan sebanyak 1,738.5 tan sisa pepejal dengan kos keseluruhan berjumlah RM475,666.53.
“Dari aspek penguatkuasaan, sebanyak 21 kes pembuangan sampah haram telah berjaya dihadapkan ke mahkamah di bawah Akta 672 dengan jumlah denda RM335,000 hasil daripada 4,268 operasi risikan yang dijalankan.
“Selain itu, penggunaan teknologi melalui pemasangan 47 unit Kamera Litar Tertutup (CCTV) juga turut memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan apabila berjaya mengesan dan menjejaki tujuh kes pembuangan sampah haram sehingga ke premis pelaku untuk tindakan lanjut.
“Bagi tempoh dari tahun 2014 hingga 31 Jan 2026, sebanyak 192 aset telah disita dan 5 aset telah dilucutkan hak sebagai langkah tegas dalam membanteras aktiviti pelupusan sisa pepejal secara haram,”tambahnya.
“SWCorp yakin pendekatan bersepadu ini mampu meningkatkan kesedaran awam, membudayakan amalan pengurusan sisa pepejal yang bertanggungjawab serta memberi peluang pendidikan dan pemulihan kepada pesalah, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang bersih, indah dan sejahtera.
“Demi kesejahteraan bersama, orang ramai diingatkan agar mematuhi peruntukan di bawah Akta 672 bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta bersama-sama memelihara kebersihan kawasan awam, ”tambahnya lagi.-SUARA.TV



