Ketua Pembangkang Perlu Main Peranan PM Alternatif – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang wajar memainkan peranan sebagai Perdana Menteri alternatif begitu juga Kabinet bayangan yang dibentuk Perikatan Nasional (PN) juga perlu dilihat selaku menteri bayangan.

Menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pembangkang sepatutnya menaikkan imej menteri bayangan supaya rakyat bukan sekadar tahu kewujudan mereka malah tahu fungsi menteri bayangan yang ditawarkan pembangkang untuk semak dan imbang kepada kerajaan semasa.

“Saya kalau di pihak PN, saya akan naikkan imej menteri bayangan tersebut. Sebab saya akan buat begitu adalah supaya rakyat tahu siapa menteri bayangan, orang tahu Kabinet bayangan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dah bagi gelanggang. Saya puji Perdana Menteri dan juga Speaker Dewan Rakyat kerana laksanakan sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri (PMQ).

“Kalau saya Ketua Pembangkang saya akan minta satu sesi supaya Perdana Menteri jawab Ketua Pembangkang untuk 10-15 minit pertama, PM jawab Ketua Pembangkang sahaja dan lepas itu buka kepada ahli Parlimen yang lain.

“Di situlah Ketua Pembangkang boleh menunjukkan bahawa pembangkang boleh menjalankan tugas sebagai semak dan imbang kepada kerajaan
dan Ketua Pembangkang dilihat sebagai seorang Perdana Menteri alternatif,” saran bekas Menteri Kesihatan itu dalam siaran Podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan pada Rabu.

Sementara itu, mengakui kelemahan perbahasan di kalangan majoriti ahli Parlimen PN di Parlimen sebagai pembangkang berkesan, pun begitu Khairy tetap memuji dua ahli Parlimen muda PN seperti Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman yang dianggapnya sebagai berkualiti.

“Wan Ahmad Fayhsal dan Syahir Sulaiman saya tengok ada kualiti bangkitkan soal pelaburan, strategi ekonomi. Bukan cuma isu kaum dan agama seperti ahli Parlimen PN yang lain.

“Tapi PN banyak sentuh agama dan kaum secara stereotaip tapi mereka ada ahli Parlimen yang berkaliber dan telah buat kajian berkenaan isu lain,” katanya.

Manakala Shahril pula berkata, mungkin Khairy sedar PN ada beberapa orang ahli Parlimen yang berkualiti tapi PN perlu lebih menyinar memandangkan sesi Parlimen bukannya berjalan sepanjang tahun.

“Wajah parti PN lebih menonjol, maksudnya kalau dia ni jadi menteri kita ok, kalau dia ni jadi pemimpin kita pun boleh bayangkan kita ok tapi kalau wajah-wajah mereka yang seolah-olah masih lagi dikaitkan dengan kaum dan agama nampaknya orang muda rakyat tak berapa nak minat stereotaip itu,” katanya.

Shahril juga memuji Anwar kerana menjadi Perdana Menteri yang berani melaksanakan sesi pertanyaan kepada Perdana Menteri.

“Cuma Anwar paling berani laksanakan perkara ini (PMQ) kerana kalau Perdana Menteri lain mesti penasihat akan nasihatkan langkah ini berisiko,” katanya.

Beliau juga menyarankan supaya pembangkang mengoptimakan Kabinet Bayangan untuk dapat dividen politik lebih baik.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat