Dolak-dalik kerajaan kewujudan titah adendum aniaya Najib – Annuar Musa

- Advertisement -

 

KUALA LUMPUR – Muafakat Nasional (MN) berpendapat sikap berdolak-dalik kerajaan terkait titah adendum bukan sahaja satu tindakan yang tidak adil kepada Datuk Seri Najib Razak tetapi juga menunjukkan kecenderungan untuk menafikan hak rakyat.

Presiden MN, Tan Sri Annuar Musa menegaskan hakikat bahawa Najib terpaksa ke mahkamah hanya untuk mendapat pengesahan kewujudan titah adendum diraja adalah detik gelap dalam sejarah pentadbiran negara.

“Kebimbangan lebih besar ialah jika bekas pemimpin negara yang partinya merupakan sebahagian dari kerajaan dan mempunyai kawan-kawan di dalam Kabinet pun boleh ‘dianiaya’ dan dinafikan hak mendapat kebenaran, apa nasib rakyat biasa pada masa hadapan?

“Justeru MN ingin menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan kaum, kepercayaan dan pegangan politik untuk bersolidariti bersama Najib,dan menyokong Gerakan Solidariti Bersama Najib Razak yang akan diadakan pada 6 Januari 2025 di Mahkamah Rayuan.

“Kami menyeru kepada semua pihak yang mendukung Perlembagaan, undang-undang serta prinsip-prinsip Rukun Negara untuk menyatakan sokongan secara terbuka terhadap gerakan ini,” gesa Annuar dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi, ini
bukan isu salah atau benar pertuduhan ke atas Najib.

Sebaliknya kata beliau, ini adalah mengenai seorang bekas pemimpin negara dan rakyat Malaysia telah dinafikan hak untuk mendapat keadilan.

“Ini adalah usaha untuk memperjuangkan prinsip kedaulatan undang-undang dan hak setiap individu untuk mendapat keadilan.

“Ini adalah satu perjuangan untuk memastikan kedaulatan undang-undang terus dijunjung tinggi di negara kita,” ujarnya.

Menurut Annuar lagi, sebagai sebuah pertubuhan yang memperjuangkan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik, MN menyeru kerajaan memberi jawapan yang tuntas dan jujur dalam isu berkaitan titah adendum oleh Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Abdullah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Kata Annuar MN berpendirian, bahawa kerajaan harus memastikan bahawa prinsip keadilan ditegakkan, dan hak-hak Perdana Menteri Keenam Najib, sebagai seorang warganegara yang sah dipelihara mengikut peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Negara.

“MN juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa pengakuan atau penafian secara jelas mengenai kewujudan sesuatu titah Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Adalah merupakan satu tanggungjawab mandatori, bukannya ‘wewenang’ (pihak berkuasa),” tegas beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat