KUALA LUMPUR – DAP kalau bertanding kawasan-kawasan majoriti Melayu di Pantai Timur mungkin calon mereka juga akan hilang deposit.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad membidas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang yang kononnya menyatakan orang Melayu menyokong DAP bukan sekadar pengundi Cina yang mengundi DAP.
“Lim Kit Siang dalam tulisannya menafikan bahawa DAP menang besar di kawasan-kawasan yang ditandingi parti itu disebabkan sokongan pengundi Cina. Katanya orang Melayu pun sokong DAP. Kerana itu calon-calon DAP menang besar di kawasan-kawasan yang mereka bertanding dan calon-calon lain hilang wang deposit.
“Saya fikir dia tak perlu nafikan fakta yang DAP menang besar kerana sokongan pengundi Cina. Calon-calon DAP semuanya bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina. Ini formula yang dipakai sejak sekian lama. Kerana itu kerusi-kerusi tradisi DAP ialah Seputeh, Segambut, Kepong, Puchong, Ipoh Timur, Ipoh Barat, Jelutong, Bukit Bendera dan kawasan-kawasan lain yang mempunyai majoriti besar pengundi Cina.
“DAP tidak pernah bertanding di Kota Bharu, Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Marang, Besut, Dungun dan kawasan-kawasan lain yang mempunyai majoriti besar pengundi Melayu. Jika DAP bertanding di kawasan-kawasan ini, mungkin calon mereka pun akan hilang wang deposit,” tempelak beliau dalam kenyataan semalam.
Tambah Marzuki lagi, beberapa kajian pra pilihanraya yang saya lihat menunjukkan lebih 90 peratus pengundi Cina menyokong Pakatan Harapan (PH). Manakala purata nasional sokongan pengundi Melayu kepada PH sekitar 12 peratus dengan kawasan-kawasan bandar di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatatkan sokongan melebihi purata nasional.
“Kerana itu 71 kerusi yang dimenangi PH di Semenanjung Malaysia kebanyakannya ialah kerusi majoriti pengundi Cina dan kawasan-kawasan campuran di bandar.
“Manakala purata nasional sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) pula sekitar 62 peratus dengan negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencatatkan kadar sokongan melebihi purata nasional.
“Kerana itu, PN menang 71 kerusi di Semenanjung Malaysia yang sebahagian besarnya adalah kerusi-kerusi majoriti Melayu terutamanya di negeri-negeri Utara, Pantai Timur dan kawasan-kawasan lingkaran Melayu di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Melaka,” katanya.
Sedangkan kata Marzuki, Barisan Nasional (BN) hanya dapat mempertahankan 23 kerusi majoriti Melayu yang sebahagian besarnya tertumpu di negeri Pahang, Johor dan Negeri Sembilan dengan tahap sokongan yang semakin merosot.
“Dianggarkan purata nasional sokongan Melayu kepada BN ialah sekitar 26 peratus dengan Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan sokongan melebihi purata nasional.
“Jika 90 peratus daripada satu kaum mengundi satu parti, dan hampir 90 peratus kaum satu lagi tidak mengundi parti itu, kesimpulan yang boleh dibuat ialah kaum masih merupakan faktor utama yang menentukan keberhasilan pilihan raya di negara kita.
“Pastinya ada faktor-faktor lain yang menentukan “voting behaviour” pengundi. But race remains the underlying factor that determined the outcome of elections in Malaysia. Kenapa? Mungkin kerana faktor ideologi, dasar atau keahlian sesebuah parti yang didominasi oleh kaum tertentu. Jadi, sudah tentulah kaum yang dapat “relate” diri mereka dengan sesebuah parti akan mengundi parti itu dalam pilihan raya.
“Lim Kit Siang tidak perlu menafikan hal ini,” tegas beliau.