KUALA LUMPUR – Proses baik pulih kemudahan infrastruktur di negeri bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang terjejas akibat banjir akan dipulihkan secepat mungkin.

Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata jalan kampung, jambatan kecil yang menghubungkan antara kampung, surau dan longkang kampung antara kemudahan infrastruktur kelolaan kementerian itu.

Untuk rekod banyak kawasan luar bandar yang terbabit banjir di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor turut mengakibatkan banyak kerosakan jalan kampung.

“Kerosakan kecil, kita boleh buat kerja baik pulih dengan segera namun kerosakan besar seperti jambatan runtuh kita perlu tunggu hingga kos membaiki atau bina baharu diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR ).

“Seperti di Jelebu, banyak jalan kampung yang rosak dan ia turut diberi perhatian untuk dibaiki,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan KPLB kepada Pejabat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Simpang Pertang pada Selasa.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Sementara itu, Jalaluddin menafikan kelewatan kerja pembersihan banjir yang disifatkan terburuk di Jelebu.

Katanya, gotong-royong perdana yang dianjurkan Pejabat Parlimen Jelebu pada Sabtu dan Ahad lalu berjaya membersihkan 165 rumah.

“Kerja pembersihan itu juga turut dilaksanakan oleh pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia masih berjalan hingga hari ini,” katanya memetik BH.

Jalaluddin berkata kerja pembersihan sudah dijalankan sebanyak 90 peratus dan dijangka hingga hujung minggu ini semua rumah mangsa dapat dibersihkan.

“Masalah bekalan air dan elektrik terputus pula disebabkan banjir yang berlaku kali ini sangat luar biasa namun bekalan air sudah 100 peratus pulih di Jelebu hari ini,” katanya.