Rais Tegur Sikap Ahli Dewan Negara ‘Hilang’ Selepas Tekan ‘Butang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini menegur sikap sesetengah Ahli Dewan Negara yang didapati ‘menghilang’ selepas menandakan kehadiran mereka.

Rais berkata kehadiran di Dewan Negara penting bukan hanya pada sesi perbahasan sahaja, tetapi juga pada sesi lain bagi membolehkan isu dan soal kepentingan rakyat dibincang dan dibela.

“Telah dibawa ke pengetahuan saya bahawa sebahagian daripada Yang Berhormat (YB) selepas menekan butang dalam dewan ini bagi menandakan kehadiran, tidak lagi dilihat pada hari berkenaan dan amalan ini selepas diteliti harus ditiadakan di dewan ini.

“Kita telah bersumpah akan menumpahkan taat setia serta mempertahankan Perlembagaan, untuk itu kehadiran di dewan ini hendaklah seperti tuntutan semangat itu,” katanya semasa ucapan alu-aluan pelantikan selepas majlis mengangkat sumpah Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin sebagai senator baharu.

Terdahulu, Khairil Nizam, 41, yang merupakan lantikan baharu Yang di-Pertuan Agong mengangkat sumpah di hadapan Rais.

ADVERTISEMENT

Rais berharap Khairil Nizam akan menggunakan kepakaran dan pengalamannya sebagai golongan profesional untuk memberi nilai tambah kepada Dewan Negara.

Katanya kepakaran dan pengalaman itu bukan sahaja boleh digunakan ketika sesi persidangan dewan, tetapi juga meliputi semua aspek bersesuaian dengan kedudukan Dewan Negara selaku badan legislatif tertinggi negara.

‘’Sebagai Ahli Dewan Negara, tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin kerana Dewan Negara merupakan rentas parti dan ahli perlu menzahirkan khidmat bakti menerusi dewan yang mulia ini,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,557FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat