Jangan Tipu ‘Frontliners’! – Dr Noor Hisham

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak berbohong kepada petugas kesihatan, apabila menjalani sebarang prosedur perubatan di klinik atau hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penipuan mengenai keadaan kesihatan masing-masing adalah satu bentuk penganiayaan kepada petugas barisan hadapan, yang sentiasa terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19.

Menurut beliau, petugas kesihatan juga memiliki keluarga yang akan terdedah kepada bahaya, sekiranya berlaku keadaan tidak diingini.

“Jangan tipu ‘frontliners’. Kami juga perlu dilindungi, kami ada keluarga, ada rakan-rakan.

Dr Noor Hisham menyatakan demikian ketika mengulas kes seorang doktor yang dijangkiti COVID-19, apabila ditipu seorang pesakit ketika menjalani prosedur CT Scan.

Doktor berkenaan, Dr Nur Marini Zainal disahkan positif COVID-19, selepas terdedah sebagai kontak rapat kepada pesakit itu.

Berkongsi kisahnya di Facebook, Dr Nur Marini berkata, individu terbabit datang ke hospital dan disaring di pintu masuk jabatan sebelum menjalani pemeriksaan CT Scan.

Menurut beliau, pesakit itu yang mengaku sihat dibenarkan masuk, apatah lagi suhu badannya juga dalam keadaan normal.

“Saya adalah doktor yang menyediakan pesakit ini untuk scan (penerangan prosedur, pemasangan IV branula dan sebagainya).

“Terkejutnya kami bila melihat gambar paru-parunya di CT sama seperti paru-paru pesakit COVID-19,” katanya.

Dr Nur Marini berkata, pesakit itu apabila ditanya akhirnya mengaku sudah diserang batuk dan demam selama seminggu, namun memutuskan untuk datang ke temujanji CT sejurus berasa sedikit sihat.

Tindakan terbabit jelas beliau, ternyata menyusahkan pihak lain apabila disahkan positif COVID-19 selepas dua hari.

“Pada mulanya saya dikategorikan sebagai kontak risiko rendah, kerana kedua-duanya memakai ‘surgical masks’ (bagi pesakit berisiko rendah), dan pesakit tidak batuk di hadapan saya.

“Cuma jarak tak dapat di elakkan kerana terpaksa menyediakan saluran IV untuknya sebelum CT scan.

Masa kontak tidak lama, lebih kurang lima hingga 15 minit. Saya mengamalkan ‘hand hygiene’ mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebab saya memang paranoid!,” katanya.

Dr Nur Marini menambah, sut peralatan perlindungan diri (PPE) hanya digunakan untuk petugas merawat pesakit berisiko tinggi berikutan jumlah stok terhad.

“Saya mengambil keputusan menjalani swab di hospital lain kerana merasa tidak senang hati dan juga melaksanakan kuarantin kendiri.

“Saya tidak bergejala malah sempat bertugas selama dua hari di jabatan sebelum memulakan kuarantin. Keputusan ujian menunjukkan saya positif, ” katanya.

Dr Nur Marini mengakui menangis apabila mendapat tahu dirinya positif COVID-19, kerana terlalu risau terhadap keluarga dan rakan sekerja yang mungkin dijangkiti secara tidak sengaja.

“Saya juga sedih terpaksa berpisah dengan anak-anak dan suami, serta kecewa terhadap sikap pesakit itu.

“Saya amat berharap, mohon jangan menipu kami sekiranya anda bergejala. Tindakan anda itu membabitkan pesakit lain, petugas kesihatan serta keluarga mereka. Kami juga manusia,” katanya – Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat