Kuala Lumpur, 1 Februari 2025 – Dunia hiburan tempatan bakal menyaksikan satu sejarah baharu apabila dua nama besar, Tomok dan Siti Nordiana, bersatu buat kali pertama dalam ‘Konsert Memori Mungkin Berulang ‘di Zepp Kuala Lumpur. Uniknya, konsert ini tidak sekadar menjadi platform untuk menampilkan lagu-lagu popular mereka, tetapi turut membawa elemen tribute yang bakal menghidupkan semula kenangan indah era kegemilangan duet dan harmoni lagu-lagu berjiwa balada.
Bagi Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, konsert ini membawa dimensi emosi yang mendalam kerana Tomok akan mempersembahkan beberapa lagu duet yang pernah dinyanyikannya bersama Allahyarham Achik Spin. Dalam kenyataan terbarunya, Tomok meluahkan rasa bangga dapat menyampaikan lagu-lagu ini yang pernah menjadi sebahagian daripada warisan muzik tanah air, khususnya memori bagi peminat tegar Nana dan Allahyarham Achik. Lagu-lagu seperti *Memori Berkasih*, *Resipi Berkasih*, dan *Gurauan Berkasih* dijangka mencuri tumpuan malam tersebut, menyuntik aura nostalgia yang cukup berbekas di hati generasi 2000-an.
Tomok yang bertindak sebagai penganjur konsert menerusi syarikatnya POPSICLE RECORDS, menyatakan bahawa konsert ini bukan sekadar untuk menyanyi atau menghiburkan peminat. Sebaliknya, ia juga bertujuan memberi penghormatan kepada muzik-muzik klasik yang telah membentuk karier mereka selama lebih 20 tahun. Baginya, peluang ini adalah cara yang tepat untuk memberi inspirasi kepada pemuzik generasi baharu tentang pentingnya mengekalkan elemen sentimental dalam muzik.
Bagi Nana pula, ini adalah antara peluang yang sangat bermakna, terutama dalam meneruskan legasi duet yang pernah menjadi identitinya dalam industri muzik. Katanya, duet bersama Tomok menerusi lagu *Memori Mungkin Berulang* terbukti berjaya menarik perhatian peminat baharu, terutama generasi muda, meskipun lagu-lagu asal duet bersama Achik masih dikenang dengan penuh nostalgia.
Menariknya, konsert ini juga mengangkat tema yang amat relevan di kalangan generasi muda atau Gen Z, yang kini semakin menghargai muzik klasik Melayu. Nana melihat kebangkitan semula minat anak-anak muda terhadap lagu-lagu lama sebagai satu perkembangan positif yang menghubungkan generasi lama dengan yang baharu. “Saya bersyukur melihat bagaimana muzik lama kembali dihargai oleh golongan muda yang terus memberi nafas baharu kepada lagu-lagu kami,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang setia, tiket konsert ini ditawarkan pada harga mampu milik, bermula daripada RM98 hingga RM498, manakala tempat eksklusif VIP BOX disediakan dengan harga RM5000. Tiket dijual secara dalam talian menerusi platform Ticket2u mulai 28 Oktober 2024.
Konsert Memori Mungkin Berulang bukan sekadar acara hiburan, tetapi juga satu peringatan akan betapa pentingnya menghidupkan kembali warisan muzik yang pernah menjadi tulang belakang industri hiburan tempatan. Kolaborasi unik antara Tomok dan Nana bakal menjadi detik bersejarah yang mengingatkan kita bahawa muzik, walau lama sekalipun, tetap punya jiwa yang kekal hidup di hati peminat lama dan baharu.