Oleh Zihan Zari
KUALA KEDAH – Muzium Kota Kuala Kedah merupakan salah satu daripada 22 buah muzium di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) berhasil mencatatkan 1,603,463 orang
orang pengunjung dari dalam dan luar negara sejak 2015 sehingga kini.
Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, muzium ini telah dibuka secara rasmi sebagai pusat informasi (galeri) pada 6 Jun 1999 dan penubuhannya untuk memelihara warisan sejarah Kota Kuala Kedah.
Kota ini memiliki pelbagai peninggalan artifak sejarah antara lain termasuklah monumen-monumen lama, artifak sedia ada yang ditinggalkan sejak kewujudannya dan hasil temuan semasa projek carigali arkeologi.
Beliau berkata demikian sempena perasmian program Semarak @ Muzium Kota Kuala Kedah 2024 dekat sini pada Sabtu, yang disempurnakan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Dato ’ Hj. Salleh Saidin.
Turut hadir, Pengarah Kolej Poly Tech MARA Sdn. Bhd (KPTM) Alor Setar, Nor Asmah Said; Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman JMM, Mohd Razaimi Hamat, dan Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri.
Kamarul Baharin berkata, kota ini merupakan antara kubu pertahanan orang Melayu tertua di Semenanjung Malaysia didirikan oleh pemerintah Kedah pada kurun ke-17/18 masihi, berfungsi sebagai pusat kawalan dan pusat perdagangan yang terpenting di rantau ini ketika itu.
Sejak kewujudannya pada 1600-an sehingga 1957, kota ini telah mengalami pelbagai perubahan dan JMM telah mengambil langkah drastik membaikpulih serta membangunkannya setelah mengalami kerosakan.
Menurutnya lagi, kajian awal dibuat pada 1974 diikuti dengan projek pemulihan pada 1980 serta membina semula semua tembok-temboknya secara berperingkat-peringkat di bahagian timur, barat, utara dan selatan pada 2000.
Menurutnya lagi, JMM telah membangunkan pelan ‘Naratif Baru Kota-Kota Lama’ bagi memberikan nilai tambah terhadap produk muzium serta tinggalan kota dengan pendekatan yang lebih interatif dan berdaya saing tanpa mengetepikan elemen pemeliharan dan pengekalan warisan sejarahnya.
“Program ini berkonsepkan muzium bersama komuniti yang menjadi platfrom dan usaha progresif JMM dalam mengangkat dan memartabat pelbagai warisan seni, budaya dan sejarah negara khususnya di Kota Kuala Kedah.
“Selain itu, program lain seperti Bicara@Muzium, Bermalam di Muzium, IPIM, Ambang Merdeka, Kenali Muzium Kota Kuala Kedah, Sambutan Minggu Perpaduan peringkat Negeri Kedah dan program outreach ke sekolah – sekolah di Kedah telah dilaksanakan,”katanya.
“JMM sentiasa komited dalam mempertingkatkan usaha merancang dan menganjurkan pelbagai program permuziuman yang dapat memberi kefahaman kepada masyarakat tentang kepentingan menghargai sejarah dan budaya negara, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, Salleh yang juga Adun Kubang Rotan dalam ucapan perasmiannya berkata, semua negara di dunia ini mempunyai muzium tersendiri yang mempamer, menyelidik dan mendidik masyarakat mengenai khazanah warisan sejarah serta budaya sesebuah negara.
Beliau berkata, Kota Kuala Kedah ini merupakan antara kota, kubu pertahanan orang Melayu tertua di Malaysia dan sejak terbinanya kota ini, sejarah telah merakamkan banyak peristiwa penting negara yang berlaku khususnya di Kedah.
Antaranya peristiwa “Perang Musuh Bisik” iaitu peperangan yang paling lama antara tentera Kedah menentang tentera Siam pada 1821- 1842.
“Inisiatif berterusan dalam mengekalkan dan menyemarakkan kota lama yang amat bersejarah ini harus dipuji demi mengekalkan aset sejarah perjuangan bangsa terpelihara untuk tatapan generasi kini.
“Program ini merupakan satu inisiatif JMM untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk mempelbagaikan produk-produk pelancongan dalam menarik kedatangan pelancong ke Kedah.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan inisiatif ini dan melihat ia sebagai peluang yang besar dan berpotensi untuk membangunkan industri pelancongan negeri secara amnya,”katanya.
“Oleh itu, usaha ini harus dipuji kerana bukan sahaja dapat menjadikan tapak dan monumen sejarah ini sebagai produk pelancongan malah dapat menjana ekonomi setempat melalui penglibatan usahawan-usahawan di dalam program ini.
“Penting sekali kita semua menoleh kembali ke belakang dan menjadikan segala peristiwa sejarah yang telah berlaku sebagai pengajaran, iktibar dan pedoman dalam membangunkan kerangka sebuah negara bangsa yang memiliki jati diri yang tinggi pada masa hadapan.
“Melalui program ini, penglibatan masyarakat majmuk dari pelbagai lapisan usia yang memberikan satu isyarat positif bahawa Kedah berpeluang untuk maju ke hadapan dalam industri pelancongan dengan mengetengahkan kepelbagaian kaum dan budaya,”katanya lagi.
“JMM di bawah KPN mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar dalam memupuk dan menyemarakkan nilai-nilai perpaduan dan semangat patriotisme melalui penghayatan terhadap warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi negara.
“Muzium sebuah institusi yang berperanan sebagai ‘guardian of heritage’ akan terus dengan fungsinya menyelidik, mengumpul, memelihara, mendokumentasi serta melestarikan koleksi warisan sejarah, budaya dan alam semula jadi yang berteraskan masyarakat berbilang kaum di negara ini khususnya di Kedah, ”ujarnya.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JMM memaklumkan , keupayaan muzium untuk mempelbagaikan proses penyampaian maklumat dan memberikan pendidikan kepada pelajar dan masyarakat terhadap sejarah, budaya dan masyarakat dalam membentuk identiti serta meningkatkan kesedaran terhadap warisan tempatan.
“Aktiviti-aktiviti menarik, turut dijalankan seperti pameran, jualan, persembahan kebudayaan, sukan rakyat, pertandingan pakaian tradisional kanak-kanak, memancing, menjala dan pertandingan gusti lengan, ”tambahnya.
“Antara jabatan dan agensi yang terlibat, KPTM Alor Setar, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) , Arkib Negeri Kedah, Muzium Negeri Kedah, Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia dan Jabatan Penerangan (JaPen).
“Selain itu, Institut Kemahiran MARA (IKM), Maritim, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Camo Utara, Jabatan Imigresen (JIM), Kartunis, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
“Penampilan lebih 700 orang peserta terdiri daripada pelajar KPTM Alor Setar, murid Tadika Perpaduan, peserta Angklung SMK Sultanah Bahiyah, dan masyarakat setempat yang memperagakan pakaian tradisional Melayu melalui program ‘Most Participants Wearing Malay Attire In A Museum Fashion Show’ di perkarangan muzium ini telah mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records (MBOR), ”tambah kenyataan itu lagi. – SUARA.TV