KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan sebagai “ajal dan maut” bagi UMNO,” kata Datuk Seri Mohamad Hasan.
Timbalan Presiden UMNO menyatakan PRN Melaka yang bakal berlangsung 20 November depan ibarat cerminan bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“PRN Melaka amat penting kepada parti kita, ia ukaran prestasi untuk hadapi PRU15, bertembung antara ajal dan maut.
“Jika tidak betul urus, maut menanti,” katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN bagi PRN Melaka malam tadi.
Dalam pada itu, Mohamad berkata Melaka adalah kubu kuat UMNO dan ramai mahu melihat parti itu kecundang dalam pilihan raya negeri itu.
“Orang nak lihat kita kecundang di Melaka, banyak orang nak kuburkan kita di Melaka.
“Kita lihat siapa yang nak ditalkinkan dan dikuburkan di Melaka,” kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN.
Beliau yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu turut mengajak rakan komponen BN supaya bergerak sebagai satu pasukan, sambil mengingatkan hasrat gabungan itu bukan untuk menubuhkan kerajaan ‘Melayu dan Islam’.
“Kita bukan nak tubuh kerajaan Melayu, bukan kerajaan Islam, kita nak tubuh kerajaan BN yang berbilang bangsa,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Jemaah Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Kadir dan pemimpin parti komponen BN.