Oleh Zihan Zari
ASTANA, KAZAKHSTAN – Malaysia sekali lagi menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berjaya dipilih sebulat suara sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Institusi Audit Tertinggi Asia (Asian Organization of Supreme Audit Institutions-ASOSAI) bagi penggal 2027-2030.
Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam kenyataan rasminya berkata, kali terakhir Malaysia dipilih untuk menyandang jawatan tersebut ialah pada 1982, iaitu 44 tahun yang lalu.
“Keputusan ini dicapai semasa Mesyuarat Lembaga Pengelola ASOSAI ke-63 (63rd ASOSAI Governing Board Meeting) di sini, pada 17 September lalu.
“Sebagai Setiausaha Agung, beliau akan mengetuai Sekretariat ASOSAI yang bakal berpusat di Malaysia mulai tahun 2027 dan JANM akan mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada National Audit Office of the People’s Republic of China,”kata kenyataan itu.
Katanya, sekretariat ini akan menyelaras perancangan dan pelaksanaan kesemua program ASOSAI, urusan Lembaga Pengelola, komunikasi antara anggota serta pengurusan pentadbiran dan kewangan organisasi.
“Pemilihan Wan Suraya sebagai Setiausaha Agung mencerminkan keyakinan negara anggota Lembaga Pengelola ASOSAI terhadap kepimpinan beliau dalam menerajui hala tuju organisasi, khususnya dalam bidang pembangunan kapasiti, penyelidikan dan perkongsian kepakaran pengauditan sektor awam.
“Sejak dilantik sebagai Ketua Audit Negara pada pertengahan 2023, beliau telah diberi kepercayaan untuk menerajui jawatankuasa dan kumpulan kerja strategik pada peringkat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Association of Southeast Asian Nations-ASEAN), ASOSAI dan Pertubuhan Antarabangsa Institusi Audit Tertinggi (International Organization of Supreme Audit Institutions-INTOSAI).
“Ianya, termasuk ASEAN Audit Committee, ASEAN Supreme Audit Institutions (ASEANSAI), Knowledge Sharing Committee, ASOSAI Working Group on State-Owned Enterprises Audit (WGSOEA) dan INTOSAI Working Group on Follow-up Audit (WGFA), ”katanya lagi.
Ujarnya, dalam mesyuarat tersebut, Wan Suraya turut membentangkan laporan kemajuan WGSOEA yang ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Malaysia sejak 2024. Kumpulan kerja kedua itu merupakan kedua terbesar dengan 34 keahlian negara ASOSAI.
“WGSOEA kini sedang membangunkan ASOSAI Guidelines on State-Owned Enterprises Audit buat julung kalinya sebagai rujukan bersama untuk memperkukuh pengauditan dan tadbir urus syarikat milik kerajaan di peringkat serantau.
“Garis panduan ini merangkumi pengauditan kewangan, pematuhan dan prestasi khusus bagi syarikat milik kerajaan serta dijadualkan untuk dilancarkan pada Perhimpunan Agung ASOSAI Ke-17 di Jeddah, Arab Saudi pada tahun depan.
“Selain itu, dalam mesyuarat tersebut, ASOSAI turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kesediaan menjadi tuan rumah bengkel bertajuk “Performance Audit on Public Works Projects” di Akademi Audit Negara Oktober ini.
“Bengkel selama dua minggu itu akan memperkukuh keupayaan institusi audit tertinggi anggota ASOSAI dalam pengauditan prestasi projek kerja awam, ”ujarnya lagi.
Tambahnya, lawatan kerja ke Kazakhstan turut merangkumi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara JANM dengan Board of Audit and Inspection of Korea.
“MoU ini memberi tumpuan kepada pertukaran kepakaran, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dan pendekatan digital dalam pengauditan sektor awam di kedua-dua negara.
“Ketua Audit Negara turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari China, Rusia, Kazakhstan, Iran dan Pakistan.
“Malaysia juga berkongsi pengalaman melalui pembentangan kertas negara bertajuk ‘Audit of Sustainable Development Impact Assessment and Public Engagement’ pada International Scientific and Practical Conference pada 16 September lalu sempena ulang tahun ke-30 penubuhan Supreme Audit Chamber of the Republic of Kazakhstan.
“Mesyuarat ini, yang turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Kazakhstan, Tuan Yang Terutama (TYT), Mohd Adli Abdullah, memperakukan kemasukan SAI Timor Leste sebagai ahli ke-49 ASOSAI, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



