KUALA LUMPUR – Di sebalik kehilangan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, ada seorang insan yang pastinya merasakan kehilangan itu jauh lebih dalam.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah adalah tunjang kekuatan yang berdiri teguh di belakang Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Hari ini, kata-kata sahaja tidak mampu menggambarkan betapa sedihnya kita atas pemergian seorang insan yang begitu besar jasanya.
“Namun, di sebalik kehilangan ini, ada seorang insan yang pastinya merasakan kehilangan itu jauh lebih dalam.
“Tun Dr Siti Hasmah adalah seorang wanita yang berdiri teguh di belakang seorang tokoh, menemani setiap langkah, setiap perjuangan, setiap jatuh dan bangun, dalam diam yang penuh pengorbanan.
“Beliau menjadi tunjang kekuatan di sisi Tun Dr Mahathir.
“Kini, setelah sekian lama berjalan bersama, satu perjalanan itu terpaksa diteruskan tanpa insan yang selama ini sentiasa berada di sisi. Takziah buat Tun Dr Mahathir dan keluarga,” ucap Fahmi.
Ketua Penerangan PKR itu mendoakan, semoga Tun Dr Mahathir dan keluarga dikurniakan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan ini.
“Jasa, kasih dan pengorbanan Tun Dr Siti akan sentiasa dikenang.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” ucapnya.



